TRANSFORMASI INSTITUT DATO’ ONN, BENTUK KEPIMPINAN GENERASI BAHARU


Institut Dato’ Onn (IDO) tampil dengan logo baharu dan program yang segar seiring dengan visi bagi mempersiapkan generasi pemimpin muda menjelang tahun 2030.

 

ISKANDAR PUTERI — Bagi menambah baik program memperkasa modal insan di Negeri Johor, Institut Dato’ Onn (IDO) tampil dengan logo baharu dan program yang segar seiring dengan visi bagi mempersiapkan generasi pemimpin muda menjelang tahun 2030.

 

Pengarah Institut Dato’ Onn, Gadaffie Aziz, berkata pihaknya percaya kekuatan seseorang pemimpin itu mampu mencorak masa hadapan sekali gus membawa perubahan positif di dalam negara.

 

“Saya teruja untuk berkongsi satu lagi lembaran baharu di IDO. Saya amat berbesar hati untuk memperkenalkan logo baharu yang melambangkan visi kami untuk membentuk pemimpin berkaliber dari generasi muda menjelang 2030.

 

“Kami percaya kuasa kepimpinan mampu untuk mencorak masa depan. Komitmen kami bagi membentuk pemimpin yang berwibawa telah membawa kami untuk menjenamakan semula program-program sedia ada selain memberi tumpuan khusus bagi memperkasa generasi muda di Negeri Johor untuk menjadi katalis kepada perubahan positif di dalam negara,” tulisnya di laman Facebook rasmi IDO.

 

Tambah Gadaffie, logo baharu tersebut juga merupakan satu simbolik kepada aspirasi bersama bagi memelihara generasi pemimpin yang bukan sahaja berjaya dalam bidang masing-masing, tetapi mempunyai integriti dan hala tuju yang jelas.

 

“Logo baharu ini mencerminkan misi kami. Ia juga melambangkan dedikasi dan komitmen berterusan kami bagi melaksanakan transformasi kepimpinan, menyedikan kemahiran, pengetahuan dan nilai-nilai yang membantu penuntut kami berdepan dengan cabaran abad ke-21,” tambahnya.

 

Selain itu, IDO turut memperkenalkan program The Onn Leadership Accelerator (OLA) bagi meningkatkan bakat kepimpinan dalam diri seseorang.

 

Program selama lima bulan itu bertujuan mempercepat perkembangan kemahiran kepimpinan, pengetahuan dan pengalaman sebagai persiapan menjadi pemimpin masa depan di dalam pelbagai aspek dan bidang.

 

Orang ramai yang berminat boleh membuat permohonan di pautan bit.ly/OLA_IDO2023 yang telah dibuka sehingga 9 Jun 2023.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor