BUDI PEKERTI TUANKU SULTAN JADI IKUTAN KAKITANGAN ISTANA


Rohaya Abdul Rahman sempat berinteraksi bersama beberapa pegawai dan kakitangan istana yang sering membantu penduduk kampung termasuk juga anaknya yang bekerja sebagai peraih ikan. | Foto MDJ Hafez Azhar.

 

Oleh: Badrul Kamal Zakaria, Ariff Nasseem Murad, Farhanah Haziqah Noh, Suhana Mohd Arifin dan Farhan Khair

 

Bagaimana acuan begitulah kuihnya. Itulah bagaimana keperibadian dan keprihatinan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang begitu cakna dengan kebajikan rakyat jelata kini menjadi suri teladan dan contoh ikutan yang mula dipraktikkan oleh pegawai dan kakitangan baginda.

 

Ia terserlah dengan kemurahan hati baginda serta keluarga diraja yang lain yang sentiasa membantu Bangsa Johor dalam apa jua permasalahan dan situasi hingga menimbulkan rasa kasih rakyat yang bernaung di bawah pemerintahan Sultan Ibrahim malah menyebabkan pegawai dan kakitangan terikut serta dalam membantu rakyat.

 

Pengamatan ini dizahirkan oleh Penduduk Kampung Punggai, Rohaya Abdul Rahman yang sempat berinteraksi bersama beberapa pegawai dan kakitangan istana yang sering membantu penduduk kampung terbabit termasuk juga anaknya yang bekerja sebagai peraih ikan di kawasan ini.

 

“Kami bertuah kerana bukan sahaja mempunyai seorang sultan yang berjiwa rakyat tetapi pada masa sama beberapa pegawai Tuanku Sultan Johor seperti Mejar Cina Dato’ David Wong juga sering membantu penduduk di sini. Ia bukan sekadar kurniaan bantuan daripada tuanku sahaja tetapi turut membantu meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat setempat yang kebanyakkannya bekerja sebagai nelayan.

 

Mejar Cina Dato’ David Wong (dua dari kiri) antara beberapa pegawai Tuanku Sultan Johor yang sering membantu penduduk di kampung berkenaan. | Foto Ihsan Royal Press Official.

“Saya masih ingat ketika pandemik Covid-19, akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) menyebabkan golongan nelayan agak sukar untuk memasarkan hasil tangkapan laut kerana tidak dapat bergerak jauh untuk menjualnya. Malah, anak sulung saya iaitu Ramdan Nasrun yang bekerja sebagai peraih ikan juga agak sukar untuk menjualkannya yang semuanya diperolehi daripada nelayan tempatan.

 

“Kami bernasib baik kerana pegawai tuanku seperti David dan seorang lagi yang saya kenali sebagai Encik Lee sering datang ke sini untuk meninjau keadaan semasa penduduk kampung. Apabila tahu mengenai masalah ini, mereka cuba membantu dengan meminta penjual ikan khususnya di Johor Bahru untuk membantu mengambil hasil laut di Kampung Punggai ini,” katanya.

 

Rohaya yang ditemui Media Digital Johor di warung makan miliknya sambil ditemani anaknya Nursharulnizam di pangkalan nelayan kampung terbabit berkata, pertolongan mereka sedikit sebanyak melegakan keresahan golongan nelayan di sini yang sememangnya bergantung harap kepada rezeki dari laut apatah lagi berdepan dengan sekatan PKP yang membataskan pergerakan penduduk pada waktu itu.

 

“Difahamkan, menerusi bantuan pegawai istana berkenaan akhirnya membolehkan bekalan hasil laut di sini kemudiannya dapatlah dipasarkan ke Pasar Awam Larkin dan juga di Pasar Borong Pandan, Johor Bahru, sekali gus sedikit sebanyak membantu ekonomi penduduk di sini.

 

“Lebih istimewa, pihak istana Johor juga berkenan mendapatkan bekalan hasil laut segar seperti ikan, udang dan ketam dari pangkalan nelayan di Kampung Punggai ini. Kebanyakan pembelian istana ini dibuat melalui tempahan yang kemudiannya diambil sendiri oleh kakitangan istana di sini sebelum dibawa pulang ke Johor Bahru,” katanya.

 

#SultanBerjiwaRakyat
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor