SULTAN IBRAHIM MAMPU PACU NEGARA KE HADAPAN


Dato’ Ir. Hasni Mohammad berkeyakinan Sultan Ibrahim mampu membawa negara ke satu kedudukan yang berbeza apabila menjadi KDYMM SBP Yang Di-Pertuan Agong yang baharu. | Foto MDJ, Wira Anggara

 

Kebijaksanaan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar membimbing, memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada kerajaan telah memacu Johor menjadi sebuah negeri maju dengan kepesatan pembangunannya.

 

Menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Baginda Tuanku Sultan, Dato’ Ir. Hasni Mohammad berkeyakinan Sultan Ibrahim mampu membawa negara ke satu kedudukan yang berbeza apabila menjadi KDYMM SBP Yang Di-Pertuan Agong yang baharu.

 

“Saya percaya DYMM Tuanku mempunyai cara tersendiri untuk melihat pengurusan negara ke hadapan, (memiliki) cara dan pendekatan yang akan dapat memberi faedah serta meninggalkan impak yang amat bermakna dan bersejarah kepada kestabilan politik negara,” jelas Ahli Parlimen Simpang Renggam itu.

 

Hasni yang juga Ahli Dewan Negeri Johor kawasan Benut berkata, keperibadian Sultan Ibrahim juga akan memberikan keyakinan kepada negara-negara luar terhadap Malaysia.

 

“Kestabilan juga dapat menyumbang kepada usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan datang ke negara kita. Bila saya kata tentang kestabilan politik, saya percaya DYMM Tuanku akan meletakkan kepentingan rakyat lebih utama,” kata beliau lagi.

 

Beliau yang juga mantan Menteri Besar memberitahu penting bagi negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan memasuki era atau fasa baharu di bawah pemerintahan Sultan Ibrahim sebagai Yang Di-Pertuan Agong.

 

“Di mana DYMM Tuanku Sultan Johor apabila menjadi (Yang Di-Pertuan) Agong kelak, saya percaya nasihat (daripada Perdana Menteri) ini akan diterima semasak-masaknya.

 

“Saya rasa ia akan berbeza kerana pengalaman (kebijaksanaan) DYMM Tuanku untuk sekian lama dalam melihat struktur dan kaedah pentadbiran di peringkat negeri,” ujarnya.

 

Selain itu, Hasni yang juga Pengerusi Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) di Singapura masih mengingati titah Sultan Ibrahim bahawa penubuhan JETCO sebagai pemudahcara urusan di antara Johor dan Singapura.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor