DUA LALUAN DI MERSING DITUTUP UNTUK SEMUA KENDERAAN


Sebanyak 1,218 keluarga terdiri 4,368 penduduk terjejas dalam kejadian banjir di enam daerah ditempatkan di 44 pusat pemindahan sementara setakat jam 4 petang | Sumber gambar Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Dua laluan di daerah Mersing menjadi laluan terbaharu ditutup untuk semua kenderaan berikutan kejadian banjir melanda di negeri ini.

 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor dalam laporan jam 4 petang memaklumkan dua laluan tersebut adalah Jalan Nitar Timur-Pengkalan Batu (FT1425) dan Jalan Tanah Abang (J228) menjadikan keseluruhan lima laluan ditutup kepada semua kenderaan.

 

Sebelum ini, terdapat tiga laluan iaitu Jalan Ladang Siang (J223) di Kota Tinggi; Jalan Jabi-Bukit Tempurung (J516) di Segamat dan Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau (J08) di Kulai ditutup untuk semua kenderaan.

 

Tiga laluan iaitu Jalan Jemaluang-Batu Pahat (FT050) di Mersing; Jalan Mawai Lama (J172) dan Jalan Tanjung Sedili (FT212) telah ditutup untuk kenderaan ringan manakala satu laluan iaitu Jalan Utama Johor Bahru-Endau (FT003) di Mersing dibuka satu lorong.

 

Sementara itu, sebanyak 1,218 keluarga terdiri 4,368 penduduk terjejas dalam kejadian banjir di enam daerah ditempatkan di 44 pusat pemindahan sementara (PPS).

 

Terbaharu, pembukaan dan pengoperasian PPS Pogoh Tengah jam 3 petang tadi, bagi menempatkan tiga keluarga terdiri 15 penduduk dari Pogoh Tengah.

 

Bagaimanapun, dua PPS yang dibuka semalam iaitu Dewan Serbaguna Chaah dan SK Sri Bali Chaah di Segamat telah ditutup jam 4 petang sekali gus menjadikan jumlah PPS beroperasi di Segamat adalah 18 PPS.

 

Selain itu, jumlah mangsa banjir di Mersing terkini bertambah kepada 221 keluarga (708 penduduk) berbanding 207 keluarga (717 penduduk) dalam laporan jam 2 petang tadi.

 

Batu Pahat turut merekodkan pertambahan mangsa banjir di mana 35 keluarga (119 penduduk) ditempatkan di dua PPS yang dibuka berbanding 32 keluarga (151 penduduk) sebelum ini.

 

Bagaimanapun tiada pertambahan pembukaan PPS baharu bagi kedua-dua daerah tersebut.

 

Manakala jumlah mangsa banjir untuk daerah Kota Tinggi, Kluang dan Muar tiada sebarang perubahan dan sama seperti laporan pada jam 2 petang.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor