EMPANGAN RM200 KURANGKAN IMPAK BANJIR TERMENUNG


Empangan Tanah yang diinovasikan oleh Pensyarah dan Penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Ts Dr Nor Azizi Yusoff dihat mampu mengurangkan impak banjir termenung / Gambar Ihsan UTHM.

 

BATU PAHAT — Setiap musibah yang berlaku pasti ada hikmahnya dan setiap kesukaran yang terjadi akan mendorong seseorang individu untuk berfikiran kreatif dan kritis bagi mengatasi tempoh kesukaran yang dihadapi.

Itulah yang dihadapi oleh Pensyarah dan Penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Ts Dr Nor Azizi Yusoff yang turut terkesan dengan bencana banjir yang melanda daerah ini.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu mengalah dan memanfaatkan ‘cuti bencana’ yang diperolehinya dengan mencipta satu produk inovasi baharu mampu milik bagi mengurangkan risiko kerosakan kelengkapan rumah daripada banjir dan juga memendekkan tempoh banjir termenung dengan menghasilkan ’empangan tanah’.

Menerusi laman Facebook rasmi UTHM, Dr Nor Azizi bukan sahaja menceritakan pengalamannya dalam mencari solusi kepada bencana alam itu tetapi turut berkongsikan kaedah pembuatannya empangan berkenaan demi manfaat masyarakat khususnya di kawasan terjejas banjir.

“Berbekalkan minat yang mendalam dalam bidang inovasi, saya giat mencari jalan penyelesaian bagi fenomena ‘banjir termenung’ yang mungkin mengambil masa seminggu dua untuk surut sepenuhnya.

“Dengan ketinggian air sekitar satu kaki memasuki rumah, saya mula mencipta satu empangan bersama sistem pam untuk menyedut keluar air yang bertakung di dalam rumah dari semasa ke semasa,” katanya.

Dr Azizi berkata, untuk menghasilkan empangan tersebut, beliau telah menggunakan barang-barang seperti pam akuarium, beg plastik sampah, hos getah, tikar getah, air, kertas terpakai, penapis plastik dan pemberat.

“Selepas beberapa kali mencuba dan gagal, saya akhirnya bertemu kaedah yang sesuai, dengan menggunakan barang-barang yang mudah didapati dan hanya memerlukan kos kurang daripada RM200.

“Hasil inovasi ini bukan sahaja dapat menyekat air banjir daripada luar daripada masuk ke dalam rumah tetapi pada masa sama dapat membuang keluar air di dalam kediaman dan seterusnya dapat menyelamatkan banyak harta benda daripada kerosakan,” katanya.

Beliau berharap inovasi ‘Water Dam’ itu dapat dipraktikkan oleh mangsa-mangsa banjir pada ketika ini sebagai usaha untuk memendekkan jangka masa ‘banjir termenung’ sekali gus meminimakan kerosakan harta benda milik mereka.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor