JOHOR-SINGAPURA KOMITED TINGKAT HUBUNGAN, KERJASAMA


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghani terima kunjungan deligasi Menteri Hal Ehwal Luar Singapura, TYT Dr. Vivian Balakrishnan dari Singapura, semalam. | Sumber foto: Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri menzahirkan komitmen untuk terus mengeratkan hubungan baik antara Johor dan Singapura demi mencapai tahap kemakmuran dan kesejahteraan bersama.

 

Komitmen itu dizahirkan selepas Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerima kunjungan Menteri Hal Ehwal Luar Singapura, TYT Dr. Vivian Balakrishnan bersama delegasi dari Singapura, semalam.

 

Beliau berkata, dalam pertemuan yang berlangsung hampir satu jam itu, Johor dan Singapura bersepakat bahawa kedua-dua pihak saling dan akan sentiasa memerlukan antara satu sama lain.

 

“Malah beliau (Balakrishnan) dengan seikhlas hati memaklumkan Singapura mempunyai keyakinan bahawa Johor mampu menjadi negeri maju menjelang 2030, seperti mana salah satu aspirasi yang sering saya kongsikan kepada Bangsa Johor,” kata beliau di Facebook rasminya.

 

Onn Hafiz berkata, pelbagai perkara dibincangkan bersama, terutama usaha mengukuhkan hubungan dua hala antara Johor dan Singapura serta meningkatkan kesalinghubungan.

 

Kata beliau, usaha tersebut antara lain adalah projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru – Singapura yang dijangka siap pada 2026.

 

“Alhamdulillah, saya juga memaklumkan kepada TYT Dr. Vivian tentang kelulusan Kerajaan Persekutuan bagi menaiktaraf Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar bernilai RM741.3 juta.

 

“Selain itu, penambahan jumlah keseluruhan lorong M-Bike bagi pengguna motosikal kepada 150 lorong keluar masuk ke Johor, diyakini dapat mengurangkan kesesakan secara optimum,” kata beliau lagi.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor