GENERASI MUDA PEWARIS KEUTUHAN PERPADUAN NEGARA


YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Kebangsaan di Padang Angsana Mall, Johor Bahru. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Generasi muda di negara ini perlu menghayati dan menghargai pengorbanan serta perjuangan generasi terdahulu dalam memperjuangkan keamanan dan keharmonian yang diwarisi selama ini.

 

Justeru, segala yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk menjadikan Johor sebagai pusat pertumbuhan ekonomi yang dinamik tidak akan bermakna jika nikmat pembangunan yang bakal dirasai tidak disertai dengan semangat kasih sayang dan hormat menghormati dalam kalangan rakyat.

 

Atas sebab itu, tanggungjawab untuk mewarisi serta mengekalkan nikmat keharmonian dan perpaduan kaum di negara kini terletak di bahu generasi muda yang tidak seharusnya dianggap sebagai satu perkara yang remeh.

 

Generasi muda juga perlu mengelak daripada terlibat dengan sentimen perpaduan dan agama yang sempit bagi mengelakkan berlakunya keruntuhan negara seperti mana yang berlaku di negara-negara luar, selain harus menjadikan keutuhan perpaduan sebagai tonggak kepada kekuatan negara ini.

 

Selain itu, umat Islam diseru supaya mengamalkan nilai-nilai yang dianjurkan oleh agama sebagai asas untuk mengenali satu sama lain, berkasih sayang serta hormat menghormati sesama insan tanpa mengira warna kulit dan budaya.

 

Kerajaan Persekutuan turut menghargai rakyat berbilang bangsa di Malaysia yang bersama-sama menzahirkan kecintaan terhadap perpaduan dengan bersatu hati memeriahkan Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Kebangsaan di Padang Angsana Mall, Johor Bahru.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri berucap merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Kebangsaan. Hadir sama, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.

 

Turut hadir, YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara; YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan dan YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor