RM167.4 BILION PELABURAN DIKENAL PASTI DI BAWAH JETP

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor membentangkan ringkasan dokumen JETP pada Majlis Pelancaran JETP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru. } Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#IskandarPuteri – Sebanyak 83 projek pelaburan bernilai RM167.4 bilion telah dikenal pasti di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) bagi mempercepat lagi tahap pertumbuhan ekonomi negeri sehingga tahun 2030.

 

Sektor elektrik dan elektronik (E&E) merekodkan nilai pelaburan terbesar iaitu RM95.8 bilion yang melibatkan 27 projek, manakala sektor tenaga pula menyumbang pelaburan sebanyak RM28.2 bilion melalui sembilan projek.

 

Selain itu, sektor kimia dan petrokimia mencatat nilai pelaburan sebanyak RM17.5 bilion menerusi 13 projek, sementara sektor pelancongan pula melibatkan tujuh projek bernilai RM11.3 bilion. Ia kemudiannnya diikuti sektor kesihatan dan farmaseutikal yang turut menyumbang pelaburan sebanyak RM7.3 bilion menerusi 18 projek.

 

Turut dikenal pasti ialah empat projek logistik bernilai RM3.4 bilion, satu projek aeroangkasa bernilai RM3 bilion dan empat projek pertanian bernilai RM900 juta.

 

Pelan JETP yang dirangka ini akan mengalihkan tumpuan daripada sekadar mendapatkan kelulusan pelaburan seperti sebelum ini kepada usaha untuk mempercepatkan realisasi pelaburan yang telah diluluskan.

 

Pendekatan itu juga akan memberi fokus terhadap kesiapsiagaan infrastruktur, dasar mesra pelabur, fasilitasi pelaburan dan pembangunan modal insan bagi memastikan projek yang diumumkan dapat direalisasikan dengan lebih pantas.

 

Bagi tujuan itu, sebanyak 32 inisiatif intervensi strategik turut dikenal pasti bagi menangani cabaran utama yang dihadapi pelabur dan mempercepat pelaksanaan projek berimpak tinggi di Johor.

 

Terdahulu, YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor membentangkan ringkasan dokumen JETP pada Majlis Pelancaran JETP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru, semalam.

 

#JohorSafeZone
#PelanTransformasiEkonomiJohor
#JETP
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor