JALAN PINTAS SEMENTARA KURANGKAN KESESAKAN DI SETIA ECO GARDENS-TAMAN NUSA BAYU

Jalan pintas sementara yang menghubungkan Laman Setia Utama, Setia Eco Gardens dengan Taman Nusa Bayu dijangka membantu mengurangkan kesesakan dan memudahkan pergerakan penduduk. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#IskandarPuteri – Inisiatif pembukaan sementara jalan pintas yang menghubungkan Laman Setia Utama, Setia Eco Gardens dengan Persiaran Bayu, Taman Nusa Bayu dijangka mampu memberi kelegaan kepada pengguna jalan raya menerusi pengurangan kesesakan, selain berupaya melancarkan pergerakan penduduk khususnya pada waktu puncak.

 

Laluan alternatif dua hala di kawasan pembangunan pusat data itu sudah mula beroperasi pada hari ini, bermula dari jam 6.30 pagi hingga 9.00 pagi serta 4.30 petang hingga 8.00 malam bagi membantu mengurangkan kesesakan trafik di laluan sedia ada dan kawasan perumahan sekitar yang hanya dibenarkan untuk dilalui oleh kenderaan dengan berat maksimum lima tan.

 

Bagi penduduk Taman Laman Setia, Muhammad Affan Md Nasir, 37, melahirkan rasa syukur dengan pembukaan laluan pintasan tersebut yang disifatkan mampu mengurangkan kesesakan, selain dapat mengurangkan kebergantungan pengguna terhadap jalan utama.

 

Beliau turut menyambut baik usaha yang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) bersama pihak pemaju dalam menyediakan langkah penyelesaian sementara yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.

 

Sementara itu, Chung Heng Vui, 52, memberitahu menerusi pembukaan laluan sementara berkenaan telah berjaya memendekkan tempoh perjalanan beliau dari Bukit Indah ke Taman Laman Setia, sekali gus membantu menjimatkan kos bahan api kenderaan miliknya.

 

Jelas beliau, inisiatif itu juga sekurang-kurangnya mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak dan memberi keselesaan kepada pengguna yang melalui kawasan berkenaan setiap hari.

 

Walaupun ia hanya merupakan laluan sementara di dalam kawasan pembangunan yang masih dalam pembinaan, pengguna jalan raya diminta supaya sentiasa mematuhi semua papan tanda lalu lintas, arahan petugas trafik serta had laju maksimum 30 kilometer sejam (KM/J) demi memastikan keselamatan semua pihak.

 

#JohorSafeZone
#MBIP
#GelangPatah
#JalanPintasSementara
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor