FAKTOR KELETIHAN TAK PADAM SEMANGAT JUANG SOFBOL WANITA JOHOR RAIH PERAK

Faktor keletihan dan kecederaan tidak sesekali menghalang semangat juang Pasukan Sofbol Wanita Johor untuk memberikan tentangan sengit sebelum akhirnya terpaksa berpuas hati dengan pingat perak pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026.
#Serdang, Selangor – Faktor keletihan dan kecederaan tidak sesekali menghalang semangat juang Pasukan Sofbol Wanita Johor untuk memberikan tentangan sengit sebelum akhirnya terpaksa berpuas hati dengan pingat perak pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, hari ini.
Beraksi dalam perlawanan yang berlangsung hampir tiga jam di Stadium Sofbol Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Johor berdepan cabaran saingan sengit daripada Perak dalam aksi penuh dramatik, namun terpaksa akur dengan keputusan akhir yang memihak kepada Perak dengan keputusan 7-5.
Faizal Subakhi, Jurulatih Pasukan Sofbol Wanita Johor, menyifatkan anak buahnya telah memberikan persembahan terbaik serta mempamerkan semangat juang yang tinggi dalam usaha mempertahankan pingat emas yang dimenangi mereka pada edisi SUKMA XXI Sarawak 2024 lalu.
Namun aksi sengit itu sedikit sebanyak menjejaskan momentum pasukan Johor apabila beberapa pemain tonggak berdepan masalah kecederaan, selain keletihan yang mula dirasai sepanjang perlawanan, sekali gus menyukarkan usaha untuk mengekalkan rentak permainan pada tahap terbaik hingga ke penghujung aksi perlawanan akhir berkenaan.
Walaupun gagal mengulangi kejayaan tersebut, pencapaian pingat perak itu sekurang-kurangnya telah membuktikan pasukan Johor tetap kekal sebagai antara pencabar utama dalam arena sofbol wanita dan mereka juga masih memiliki motivasi tinggi untuk kembali bangkit pada temasya SUKMA akan datang.
Selain itu, persiapan bagi menghadapi SUKMA akan datang akan dimulakan lebih awal dengan memberi penekanan terhadap aspek latihan, pembangunan pasukan serta penyertaan dalam kejohanan kompetitif bagi meningkatkan pengalaman dan ketahanan pemain.
Gabungan pemain sedia ada bersama kemunculan pemain-pemain pelapis baharu juga dijangka akan menjadi ramuan penting dalam membentuk pasukan yang lebih mantap, sekali gus membuka ruang kepada Johor untuk kembali merampas semula emas pada edisi SUKMA akan datang.
#JohorSafeZone
#SUKMAXXII
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


