GABRIEL NISTELROOY HARGAI JASA JURULATIH AKAR UMBI

Gabriel Nisterooy berjaya menyumbat dua gol dan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) muncul juara Piala MFL 2024/2025. | Foto JOHOR Southern Tigers
#IskandarPuteri – “Coach mesti datang ke Johor Bahru. Ini momen penting dalam hidup saya dan saya perlu dikongsikan kepada Coach. Ada rezeki saya kalungkan Coach pingat kejuaraan piala MFL 2024/2025. Datanglah Coach.”
Demikian hantaran mesej ringkas pemain kelahiran Miri, Gabriel Nistelrooy anak Tamin kepada jurulatih akar umbi sebelum perlawanan terakhir Piala Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), semalam.
Mohamad Hakimi Man, 50, individu penting yang melatih Gabriel Nistelrooy sejak di Kolej Vokasional Miri sehingga mewakili skuad Majlis Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) Sarawak pada tahun 2018. Hakimi Man merupakan seorang jurulatih Lesen A daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut menasihatkan Gabriel untuk menyertai Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) demi masa hadapan beliau.
Bagi membalas jasa jurulatih, Gabriel telah menempah tiket penerbangan dua hala dari Miri ke Johor Bahru, lengkap dengan penginapan dan pengangkutan serta tiket perlawanan di SSI bagi memastikan jurulatihnya itu hadir menyaksikan dia mencipta sejarah.
Dalam perlawanan tersebut, Gabriel Nisterooy berjaya menyumbat dua gol dan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) muncul juara Piala MFL 2024/2025 selepas menundukkan pasukan Penang FC II dengan keputusan 7-0.
Gol tersebut turut menambah koleksi jaringan buat Gabriel yang telah meledak 24 gol sepanjang 24 perlawanan dan muncul penjaring terbanyak dalam saingan Piala MFL.
Luaskan Kuasamu Johor!
#JDT2
#PialaMFL202425
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor