HARGAI PENGORBANAN WARGA KESIHATAN


Karnival Kejururawatan sempena Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa Peringkat Negeri Johor Tahun 2024 disertai kira-kira 1,000 warga kerja kesihatan negeri di Kompleks Sukan Hospital Permai Johor Bahru. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Sentiasa berkorban masa dan tenaga demi kesejahteraan Bangsa Johor. Itulah yang telah dilakukan oleh warga kerja kesihatan terutama kumpulan jururawat sebagai tulang belakang kepada kelancaran penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan di negeri ini.

 

Pengorbanan yang dicurahkan sentiasa diiktiraf dan amat dihargai oleh Kerajaan Negeri terutama menerusi Belanjawan Johor 2024 apabila sebanyak RM2.3 juta telah diperuntukkan untuk meningkatkan keselesaan 468 bilik pantri hospital dan klinik kesihatan di seluruh negeri.

 

Menyambut baik inisiatif Johor Prihatin dalam Strategi Mensejahterakan Penjawat Awam, Dr. Sharath Chandran, Timbalan Pengarah (Perubatan) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana sentiasa cakna dan mengambil berat kebajikan warga kerja kesihatan.

 

Keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keselesaan bilik pantri yang sering digunakan para petugas untuk berehat juga disifatkan sebagai sistem sokongan signifikan selepas berhempas pulas memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.

 

Bagi Dr. Saraswathy Chelladurai, Ketua Penyelia Jururawat Hospital Permai Johor Bahru pula memuji keikhlasan kepimpinan Kerajaan Johor yang sering turun padang untuk menilai sendiri keperluan untuk membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan di hospital berkenaan.

 

Terdahulu, berlangsungnya Karnival Kejururawatan sempena Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa Peringkat Negeri Johor Tahun 2024 disertai kira-kira 1,000 warga kerja kesihatan negeri di Kompleks Sukan Hospital Permai Johor Bahru, pagi tadi.

 

Karnival tersebut telah disempurnakan perasmiannya oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor. Turut hadir, YB Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor serta YBhg Dr. Mohtar Pungut, Pengarah Kesihatan Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor