PERLUAS TULISAN JAWI KEPADA BANGSA JOHOR


Seminar Semarak Jawi Peringkat Negeri Johor berlangsung di Savanna Hill Resort, Pasir Gudang. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Usaha berterusan Kerajaan Negeri memartabatkan tulisan jawi sejak penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang dulu dikenali Balai Pustaka di Bukit Timbalan, Johor Bahru pada tahun 1956 hingga kini terutama dalam urusan surat menyurat berkaitan hal ehwal agama Islam oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) serta Majlis Agama Islam Negeri Johor mendapat pengiktirafan dan pujian.

 

Malah antara resolusi yang dikenal pasti dan digariskan daripada Seminar Semarak Jawi Peringkat Negeri Johor berlangsung di Savanna Hill Resort, hari ini, turut membawa kepada syor untuk mengembalikan tulisan berkenaan di papan tanda mahupun premis perniagaan menerusi sokongan dan kerjasama daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengembalikan kegemilangan jawi.

 

Bagi Nur Syahreer Hadi Munir, Munsyi Dewan (Jawi 9) DBP Negeri Johor percaya syor berkenaan sekiranya diimplementasikan secara tidak langsung menjadi usaha signifikan memperkenalkan secara lebih meluas dan berkongsi tulisan tersebut kepada seluruh Bangsa Johor sekali gus menghentikan stigma bahawa jawi merupakan eksklusif untuk masyarakat Islam.

 

Terdahulu, Nur Syahreer bertindak sebagai moderator seminar menampilkan Dr. Abdulrahman Hamzah, Pensyarah Akademi Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Dr. Suhaimi Mohamad, Pensyarah Kanan Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim serta Dr. Maskiah Masrom, Ketua Penyelidikan dan Penerbitan, Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI) selaku panel.

 

Pelbagai topik turut disentuh dan dibincangkan antaranya sejarah perkembangan tulisan jawi di Tanah Melayu, asbab kemerosotan penggunaan tulisan jawi dalam masyarakat serta cabaran proses transliterasi tulisan jawi ke tulisan rumi khususnya terhadap naskah Melayu tradisional dalam sesi seminar yang menghimpunkan kira-kira 700 peserta anjuran Bahagian Pendidikan Islam JAINJ.

 

Majlis Penutup Seminar Semarak Jawi Peringkat Negeri Johor telah disempurnakan oleh YBrs. Ustaz Mohd Safri Hussien, Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pengurusan Akademik JAINJ selaku wakil rasmi YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor