IIB SOKONG CADANGAN PELAKSANAAN ART


Gambar hiasan.

 

Iskandar Investment Berhad (IIB) amat menyokong cadangan pelaksanaan Autonomous Rail Rapid Transit (ART) di bandar raya Johor Bahru yang selari dengan matlamat ‘Net Zero Central Business District (CBD) 2030 seterusnya mentransformasikan Medini, Iskandar Puteri menjadi bandar rendah karbon pada 2050.

 

Projek ART dan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura berupaya mengurangkan kesesakan trafik dan memendekkan tempoh masa pengembaraan bagi kawasan yang penting kepada pertumbuhan ekonomi di negeri ini, sekali gus meningkatkan pergerakan barangan dan manusia untuk perniagaan.

 

YBhg. Dato’ Idzham Mohd Hashim, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif IIB memberitahu pelancaran perkhidmatan bas elektrik rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura baru-baru ini, juga mampu mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian selain mempromosikan pengembaraan mesra alam.

 

IIB memandang ke hadapan pengalaman pengembaraan lebih lancar sebaik sahaja Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) diperincikan serta menjangkakan kecekapan kesalinghubungan menerusi RTS dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang mewujudkan pelbagai kesan pengganda komersial.

 

Selain itu, JS-SEZ juga seharusnya menjadi faktor utama mempercepatkan status karbon sifar bersih dan bandar rendah karbon dengan peningkatan permintaan daripada syarikat pembuatan di kedua-dua negara, di mana tumpuan kepada tenaga hijau meletakkan Iskandar Puteri sebagai lokasi menarik bagi perniagaan sedar-eko.

 

IIB komited meneruskan usaha memupuk kerjasama bagi mewujudkan hab ekonomi yang maju di Iskandar Puteri, dengan objektif sosioekonomi memberi limpahan manfaat kepada semua pihak berkepentingan terutama penduduk di kawasan berkenaan di mana tenaga boleh diperbaharui adalah teras kepada strategi kelestarian mereka.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor