‘KICK-OFF’ SARINGAN UJIAN KESIHATAN ASAS PENJAWAT AWAM NEGERI


Penjawat Awam Negeri Johor menjalani ujian saringan kesihatan di Hospital Pakar KPJ Bandar Dato’ Onn. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Bertepatan dengan pepatah ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’, kira-kira 13,000 penjawat awam negeri kini boleh menjalani ujian saringan kesihatan asas di tujuh Hospital KPJ Wilayah Selatan di Negeri Johor sekali gus menikmati manfaat disediakan Kerajaan Negeri dalam Belanjawan Johor 2024.

 

Hospital KPJ Wilayah Selatan yang terlibat adalah Hospital Pakar KPJ Johor, Hospital Pakar KPJ Puteri, Hospital Pakar KPJ Bandar Dato’ Onn, Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang, Hospital Pakar KPJ Bandar Maharani, Hospital Pakar KPJ Kluang dan Hospital Pakar KPJ Batu Pahat.

 

Inisiatif Johor Sihat Penjawat Awam di bawah Strategi 2 : Mensejahterakan Penjawat Awam dalam Teras Pertama : Tadbir Urus Kerajaan menterjemahkan keprihatinan Kerajaan Negeri menerusi peruntukan sebanyak RM1.95 juta yang memberi peluang kepada penjawat awam negeri melakukan pemeriksaan kesihatan.

 

Saringan kesihatan memainkan peranan penting dalam sesebuah organisasi bagi mengesan awal dan meningkatkan kadar pencegahan selain membantu mengenal pasti risiko kesihatan pekerjaan seterusnya memastikan penjawat awam negeri berada dalam keadaan sihat dan tahap produktiviti yang tinggi.

 

Menerusi inisiatif berkenaan, saringan yang ditawarkan adalah ujian darah, ujian air kencing, pemeriksaan ‘electrocardiogram’ khusus untuk jantung, ujian fungsi paru-paru dan pap smear bagi wanita disertakan dengan konsultasi bersama laporan lengkap yang akan diserahkan kepada jabatan.

 

Selain itu, rangkaian Hospital KPJ Wilayah Selatan di negeri ini, juga bersedia untuk melakukan pemeriksaan secara ‘on-site’ atau di lapangan dengan dilengkapi pegawai perubatan dan teknologi perubatan bagi memudahkan penjawat awam negeri yang berada di daerah.

 

Terdahulu, YB Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor hadir menyempurnakan perasmian Simulasi dan Kick-Off Ujian Saringan Kesihatan Asas Penjawat Awam Negeri Johor di Hospital Pakar KPJ Bandar Dato’ Onn.

 

Turut hadir, YB, Dato’ Haji Ismail Abu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan); YBhg. Mohd Azhar Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital KPJ Wilayah Selatan serta barisan kepimpinan dan Ketua-Ketua Eksekutif Hospital-Hospital KPJ Wilayah Selatan.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor