IMRC PUPUK KEMAHIRAN BAKAT DIGITAL MURID


Huszarudin Hussin, 38 (dua dari kanan) mengajar peserta tentang asas pengekodan ketika bengkel International MakeRobot Challenge (IMRC) dalam program Forum Bandar Pintar Johor (JSCF) 2023, baru-baru ini. | Foto MDJ, Imran Razib.

 

JOHOR BAHRU — Penganjuran International MakeRobot Challenge (IMRC) dalam program Forum Bandar Pintar Johor (JSCF) 2023, baru-baru ini menjadi platform terbaik dalam memupuk bakat digital murid sekolah.

 

Tenaga Pengajar sepanjang IMRC berlangsung, Huszarudin Hussin, 38, berkata usaha yang dilakukan ini membantu mendedahkan minat pengekodan dalam diri murid berkenaan.

 

Kerana menurutnya, ia selari dengan agenda silibus pendidikan ketika ini yang menerapkan penekanan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

 

“Kita mahu mendedahkan kepada murid untuk memupuk minat mereka dalam mempelajari kaedah pengekodan kemudian diterjemahkan kepada pergerakan (robot).

 

“Kerana pengekodan ini adalah arahan kepada robot. Daripada situ kita ingin memupukkan minat dan mencetuskan rasa suka mereka (murid) kepada pengekodan,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor pada Forum Bandar Pintar Johor (JSCF) 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, baru-baru ini.

 

Sebanyak 76 sekolah dari seluruh negara termasuk negara serantau menyertai bengkel dan pertandingan IMRC tersebut yang diadakan sempena JSCF 20233.

 

Huszarudin selaku tenaga pengajar dan penganjur daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Lok Heng Selatan, Kota Tinggi berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Cyberport Sdn Bhd serta Attribot Technology, Pusat Teknousahawan Universiti UTHM-PTU bagi menjayakan program itu.

 

Sementara itu, Guru Besar SK Sungai Tongkang, Batu Pahat, Hasidah Tumijan, berkata, pihaknya menyambut baik usaha penganjuran JSCF 2023 dan IMRC ini kerana ia secara tidai langsung dapat mengasah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) murid.

 

“Alhamdulillah, sambutan program ini sangat bagus. Murid-murid juga berminat dan dapat belajar cara pengekodan dan pemasangan set robotik. Itu bermakna kemahiran STEM mereka dapat diasah.

 

“Sekarang ini Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia(PPPM) pun kita dalam gelombang ketiga, sudah masuk ke era digital. Jadi semuanya ini berkait rapat,” katanya.

 

Beliau juga berharap Kerajaan Negeri Johor dapat memperbanyakkan aktiviti seumpama ini supaya dapat memberi pendedahan kemahiran digital kepada semua murid di negeri ini kelak.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor