IRDA SEDIA MANFAATKAN PELAKSANAAN JS-SEZ


Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA) menjangka pelaksanaan JS-SEZ dapat meningkatkan purata pendapatan isi rumah di rantau ini.

 

Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA) menyambut baik dan mahu memanfaatkan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) selepas perjanjian antara Malaysia dan Singapura telah dimeterai.

 

Ketua Eksekutif IRDA, Dato’ Dr. Badrul Hisham Kassim dalam satu kenyataan memaklumkan, JS-SEZ akan mendatangkan peluang dan kelebihan besar kepada Iskandar Malaysia sebagai satu destinasi pelaburan domestik dan antarabangsa.

 

Inisiatif berkenaan diyakini berupaya memberi limpahan ekonomi sekali gus dapat membantu Iskandar Malaysia mencapai sasaran RM636 bilion pelaburan terkumpul menjelang 2030.

 

Selain itu, IRDA juga melihat pelaksanaan JS-SEZ seiring dengan Pelan Pembangunan Komprehensif (CDPiii) 2022-2030 serta dijangka dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan purata pendapatan isi rumah di rantau ini.

IRDA akan bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Invest Johor dan agensi berkaitan untuk mengoptimumkan platform JS-SEZ ke arah menjadi sebuah bandar yang mampan dan bertaraf antarabangsa.

 

Pusat Pelaburan Iskandar Malaysia di bawah seliaan IRDA juga akan terus memainkan peranan bagi mengkoordinasi, memantau dan menjadi penghubung antara pelabur dan kerajaan, selain bersedia menyokong pelaksanaan pusat sehenti bagi hal ehwal berkaitan ekonomi dan pelaburan JS-SEZ.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor