JBPM TERIMA 1,400 BEG SUMBANGAN MAKANAN UNTUK MANGSA BANJIR


Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor dan Syarikat 99Speedmart Sdn. Bhd. mengagihkan beg makanan kepada mangsa banjir di 24 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Daerah Kota Tinggi. | Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor

 

Nasib mangsa banjir di negeri terus mendapat perhatian bukan sahaja daripada pihak kerajaan tetapi juga daripada syarikat perniagaan swasta.

 

Terbaharu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor menerima sebanyak 1,400 beg sumbangan makanan dari Syarikat 99Speedmart Sdn. Bhd. untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir yang kini berlindung di 24 pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi di Daerah Kota Tinggi.

 

Pengagihan beg sumbangan makanan berkenaan dijangka mampu memanfaatkan 1,174 keluarga itu diserahkan dalam Program Penyerahan Bantuan Sumbangan Makanan ke PPS yang berlangsung semalam. Ia sebagai satu inisiatif tanggungjawab sosial Syarikat 99Speedmart Sdn. Bhd. bagi meringankan beban mangsa banjir yang masih berada di PPS daerah berkenaan.

 

Tugasan pengagihan beg sumbangan makanan tersebut melibatkan 30 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat JBPM Johor dan 44 kakitangan Syarikat 99 Speedmart Sdn. Bhd. dengan menggunakan tiga lori bermuatan tiga tan, tiga kenderaan utiliti pacuan empat roda dan sebuah van jenis Toyota Hiace.

 

Hadir sama ialah Timbalan Pengarah JBPM Negeri Johor, Penolong Pesuruhjaya Bomba Ts. Mohd Rizal Buang; Pegawai Daerah Kota Tinggi, Ahmad Nazir Mohd Nasir; Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Johor, Penguasa Kanan Bomba, Azmi Ab Rahim dan Pegawai Operasi Cawangan Syarikat 99Speedmart Sdn. Bhd. Zon Selatan, Irdayu Ismail.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor