JANGAN PERMAINKAN SENTIMEN AGAMA


YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor beri amaran keras kepada orang awam untuk tidak menyentuh sensitiviti keagamaan. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Kerajaan Johor memandang serius dan mengecam sekeras-kerasnya pengeluaran stoking tertera kalimah Allah seterusnya dijual di premis kedai serbaneka terkemuka sehingga mengundang kemarahan umat Islam yang disifatkan sebagai tidak bermaruah dan berakhlak kerana telah menghina agama Islam.

 

Meskipun tiada produk seumpama itu lagi di negeri ini berdasarkan laporan susulan semakan dibuat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor, Kerajaan Negeri memberi amaran kepada semua pihak agar tidak mempermainkan sentimen keagamaan termasuklah kalimah Allah.

 

Mengulas mengenai isu yang mencetuskan kontroversi itu, YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor memaklumkan polis telah mengambil tindakan awal dan siasatan terhadap kilang dipercayai di Batu Pahat yang didakwa mengeluarkan stoking terbabit.

 

Bagi memastikan perbuatan menyentuh sensitiviti keagamaan termasuk melibatkan produk yang menyalahgunakan kalimah Allah tidak berulang, Kerajaan Negeri menyokong tindakan perundangan ke atas pihak terlibat selain mahu agensi penguatkuasaan menggerakkan operasi serbuan secara bersepadu.

 

Malah Bangsa Johor terutama umat Islam diseru untuk bersama melakukan pemantauan seterusnya melaporkan segera kepada pihak berkuasa agama dan polis sekiranya terdapat sebarang kecurigaan melibatkan hal-hal yang melanggar sensitiviti dan menghina agama di negeri ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor