NI HSIN METERAI PERJANJIAN BERSAMA PDT PROMOSI MOTOSIKAL ELEKTRIK


Ni Hsin EV Tech Sdn. Bhd. menjalin usahasama dengan PDT menerusi perjanjian CA yang dimeterai yang disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor. | Foto ihsan Facebook Permodalan Darul Ta’zim (PDT)

 

Ni Hsin Group Berhad menerusi Ni Hsin EV Tech Sdn. Bhd. menandatangani Perjanjian Kolaborasi (CA) dengan Permodalan Darul Ta’zim Sdn. Bhd. (PDT) bagi mempromosi penggunaan dan pemasaran kenderaan elektrik (EV) mesra alam dua roda di negeri ini.

 

Pertukaran dokumen perjanjian tersebut disempurnakan pada persidangan Minggu Iklim Asia Pasifik 2023 (APCW 2023) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru, pada Selasa lalu.

 

Di bawah perjanjian itu, kedua-dua pihak bersetuju meneliti kebolehlaksanaan projek berkenaan dan mengadakan perbincangan bagi memuktamadkan struktur komersial dan perniagaan mengikut terma dan syarat dipersetujui antara satu sama lain.

 

PDT bertindak sebagai ‘jambatan’ antara Kerajaan Johor, sektor swasta dan masyarakat dengan menyediakan platform untuk melaksanakan hasrat Kerajaan Negeri dan terlibat dalam industri yang berpotensi menyumbang kepada agenda pembangunan negara.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor