KERAJAAN NEGERI PASTIKAN ALIRAN TRAFIK LANCAR KETIKA AIDILFITRI


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Aliran Trafik Negeri Johor Sempena Perayaan Aidilfitri 2023 | Sumber Foto Facebook Fazli Salleh.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor komited memastikan aliran trafik di negeri ini termasuklah di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunsan Sultan Iskandar (BSI) serta Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), lancar sepanjang tempoh Aidilfitri kali ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan membuka kaunter sepenuhnya di kedua-dua pintu sempadan negara di negeri ini.

 

“Bagi yang akan keluar dan masuk ke Malaysia melalui Kompleks CIQ BSI dan KSAB, pihak JIM dan JKDM memberi jaminan semua kaunter-kaunter mereka akan dibuka sepenuhnya secara optimum dalam tempoh perayaan kali ini.

 

“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan turut melancarkan Ops Lancar bagi membantu melancarkan aliran trafik khususnya di kawasan bandar raya dan di sempadan negara. Manakala Ops Selamat dilancarkan bagi menjamin keselamatan rakyat termasuk harta benda mereka,” katanya.

 

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Aliran Trafik Negeri Johor Sempena Perayaan Aidilfitri 2023. Antara agensi dan jabatan yang terlibat adalah Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Jabatan Pengangkutan Awam (JPJ), PLUS Expressways Berhad (PLUS), Senai-Desaru Expressway Berhad (SDE), JIM, JKDM, PDRM dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

 

Selain itu, Mohamad Fazli berkata, syarikat pengendali lebuh raya iaitu PLUS dan SDE juga mengambil langkah proaktif demi memastikan kelancaran aliran trafik di Lebuhraya Utara Selatan serta Lebuhraya Senai-Desaru.

 

“Pihak PLUS akan memperkenalkan ‘smart lane’ yang mana lorong kecemasan dari Senai ke Kulai dibenarkan untuk digunakan bagi menangani kesesakan di kawasan tersebut.

 

“SDE juga sedang memperhalusi cadangan untuk menggunakan lorong kecemasan sebagai laluan alternatif semasa kesesakan tetapi mestilah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

 

Ujarnya, JPJ dan JKR pula telah mengeluarkan arahan secara berasingan agar kenderaan berat tidak menggunakan jalan raya selain kerja pembaikan ditangguhkan sepanjang tempoh perayaan kecuali kerja kecemasan melibatkan keselamatan.

 

“Kami juga ingin menyeru kepada semua yang ingin balik ke kampung, rancanglah perjalanan anda mengikut jadual yang telah dicadangkan.

 

“Semoga Syawal kali ini, semua pengguna jalanraya di seluruh negeri Johor sentiasa menjaga keselamatan dan mematuhi arahan yang dikeluarkan serta dapat meraikan Aidilfitri dalam suasana gembira,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor