JARINGAN JALAN RAYA DI JOHOR SEDANG DIBAIK PULIH


Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata terdapat 11 lokasi bakal dinaik taraf dan 13 lagi bakal selesai kerja-kerja baik pulih demi keselesaan pengguna. | Sumber foto: Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Lebih 20 lokasi jalan rosak di seluruh Negeri Johor sedang menjalani proses pembaikan dan penyelenggaraan.

 

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata terdapat 11 lokasi bakal dinaik taraf dan 13 lagi bakal selesai kerja-kerja baik pulih demi keselesaan pengguna.

 

”Kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan jalan yang sedang dilaksanakan meliputi Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, Lebuhraya Pasir Gudang, Jalan Mesjid, Bandar Pasir Gudang dan Jalan Kota Masai di Taman Kota Masai.

 

”Ada juga beberapa kerja penyelenggaraan yang sudah siap dan bakal selesai melibatkan Jalan Kota Tinggi-Mersing, Jalan Lapangan Terbang Senai, Jalan Pontian-Kukup dan Jalan Batu Pahat-Mersing,” tulis Onn Hafiz di Facebook rasminya selepas mendengar pembentangan perkembangan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan di seluruh negeri Johor.

 

Onn Hafiz turut berkeyakinan keadaan infrastruktur di negeri Johor dapat diperbaiki dengan kerjasama semua pihak.

 

”Walaupun begitu, masih banyak jalan yang perlu diselenggara dan dibaikpulih, demi keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya di Johor,” tambahnya.

 

Kerja-kerja penyelenggaraan turut membabitkan Jalan Persekutuan di daerah Muar, Mersing, Kota Tinggi dan Batu Pahat.

 

Hadir sama Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh; Setiausaha Bahagian, Bahagian Kerajaan Tempatan, Fizwan Dato’ Mohd Rashidi dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor, Ir. Abu Bakar.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor