RM360,000 PERUNTUKAN BAIKI JALAN GUNUNG PULAI J165


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir Ts Mohamad Fazli Mohamad Salleh meninjau tapak projek pembaikan Jalan Gunung Pulai J165 / Sumber Gambar Facebook Fazli Salleh.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM360,000 bagi membaiki Jalan Gunung Pulai J165 berhampiran Seksyen 3.0 susur keluar ke Plaza Tol Kulai.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir Ts Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata kerosakan laluan terbabit sebelum ini disebabkan tekanan dan geseran tayar lori muatan berat yang melalui jalan berkenaan.

 

“Saya ke Jalan Gunung Pulai J165 melihat sendiri kerja pembaikan yang dijalankan oleh pihak konsesi serta dipantau oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Kulai.

 

“Selekoh ini mengalami kerosakan teruk akibat daripada tekanan dan geseran lori bermuatan berat yang keluar daripada Jalan Gunung Pulai ke susur keluar menghala Plaza Tol Kulai,” jelas beliau menerusi Facebook rasminya, hari ini.

 

Mohamad Fazli berkata, bagi mengatasi masalah itu pihak konsesi menggunakan kaedah ‘Rigid Pavement’ iaitu meletakan lapisan konkrit di atas ‘Subgrade’ bagi memberi ketahanan yang lebih tinggi pada struktur jalan.

 

“Kerja baik pulih ini telah dimulakan pada 1 April lalu dan dijangka siap pada 14 April ini. Sepanjang kerja-kerja ini dijalankan akan menyebabkan aliran trafik terganggu namun pihak konsesi akan memastikan keadaan berjalan dengan baik,” katanya.

 

Beliau berharap dengan siapnya projek tersebut ianya dapat memberi keselasaan serta keselamatan kepada pengguna yang menggunakan laluan seharian.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor