JOHOR RANGKUL ‘IBU SEGALA PINGAT’

Johor mencipta sejarah dengan meraih emas pertama bola sepak lelaki di SUKMA XXII Selangor 2026, sekali gus menghadiahkan ‘ibu segala pingat’ buat kontinjen Johor hasil transformasi bola sepak negeri yang diterajui DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. | Foto Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ)
#PetalingJaya – Johor mencipta sejarah dengan meraih ‘ibu segala pingat’ apabila menjuarai acara bola sepak lelaki buat kali pertama pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 selepas menewaskan tuan rumah, Selangor 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.
Kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas 90 minit permainan dan kedudukan kekal hingga tamat masa tambahan sekali gus menyaksikan pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.
Johor membuka jaringan pada minit ke-20 menerusi Muhammad Daniesh Amiruddin yang melepaskan rembatan dari luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Selangor.
Selangor bagaimanapun menyamakan kedudukan lapan minit kemudian menerusi sepakan penalti Haykal Danish Mohd Haizon untuk mengikat perlawanan 1-1.
Tiada tambahan jaringan sepanjang baki permainan dan masa tambahan sebelum Johor tampil lebih tenang dalam penentuan sepakan penalti dengan menyempurnakan empat sepakan untuk mengesahkan kemenangan 4-2.
Kejayaan ini menyaksikan Johor merangkul pingat emas pertama acara bola sepak lelaki di pentas SUKMA sekali gus menghadiahkan ‘ibu segala pingat’ kepada Kontinjen Johor.
Pencapaian bersejarah berkenaan turut mencerminkan hasil visi transformasi bola sepak Johor yang diterajui DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor menerusi pembangunan ekosistem bola sepak negeri secara menyeluruh merangkumi aspek bakat, infrastruktur serta peningkatan standard permainan.
#JohorSafeZone
#SUKMAXXII
#Selangor2026
#KontinjenJohor
#BolaSepak
#SukanMDJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


