JOHOR REKOD PELABURAN RM60.9B TERTINGGI DALAM NEGARA


Poster prestasi pelaburan Negeri Johor / Sumber Facebook Onn Hafiz

 

ISKANDAR PUTERI — Johor merekodkan pelaburan tertinggi dalam negara iaitu RM60.9 Billion bagi separuh tahun pertama 2022, berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak 822 peratus berbanding dengan pelaburan tempoh yang sama bagi tahun lepas.

“Insha Allah, apa yang dicapai membuktikan Johor mampu menarik pelaburan yang berteknologi tinggi dan berkualiti, sekali gus meningkatkan lagi ekonomi negeri ke tahap yang lebih tinggi.

“Menjunjung Kasih kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang sentiasa menasihati kerajaan untuk memberi fokus kepada ekonomi negeri demi kemakmuran rakyat Johor,” katanya.

Onn Hafiz berkata, dari Januari hingga Jun 2022, sektor perkhidmatan mencatatkan sebanyak RM54.2 bilion yang menyumbang hampir keseluruhan daripada jumlah pelaburan dengan kehadiran firma-firma pusat data berpangkalan di luar negara.

Katanya, sektor perkilangan juga masih mampu menarik pelaburan luar yang memberangsangkan pada RM6.7 bilion, manakala sektor utama pula sebanyak RM0.03 bilion.

“Kesemua pelaburan ini yang disahkan bagi tempoh separuh tahun ini akan menyumbang kepada peluang pekerjaan baharu, dan akan melihatkan kesan pengganda yang ketara di dalam negeri.

“Dengan memberi tumpuan terhadap penyediaan infrastruktur asas dan insentif pelaburan yang menarik, usaha kita untuk mengekalkan hubungan luar dan memastikan kelangsungan perniagaan turut memberikan keyakinan kepada mereka,” katanya.

Beliau menegaskan kerajaan negeri akan terus bekerja keras untuk mengekalkan prestasi itu dan komited mengenal pasti lebih banyak pelaburan berkualiti dan berimpak tinggi untuk bertapak di Johor.

“Ini penting kerana dengan keadaan geo-politik dunia kini, dana pelaburan yang konsisten akan menjadi penampan ekonomi dan membantu Johor mengemudi masa-masa yang tidak menentu.

“Ini sekali gus dapat menjamin kelangsungan hidup dan kesejahteraan rakyat pada masa akan datang. Terima Kasih saya ucapkan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), MIDA, Invest Johor, IRDA dan semua agensi dan GLC yang telah membantu,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor