JOHOR SASAR 8,000 ORANG KHATAM AL-QURAN SETAHUN


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, seramai 2,600 guru al-Quran ditugaskan mengajar penduduk di kawasan bandar mahupun kampung. | FOTO MDJ, Nurina Aisyah

 

JOHOR BAHRU — Kerajaan Johor menyasarkan 8,000 penduduk di negeri ini, khatam dalam tempoh setahun melalui kelas al-Quran anjuran Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, seramai 2,600 guru al-Quran ditugaskan mengajar penduduk di kawasan bandar mahupun kampung.

 

“Biasanya yang khatam ini budak-budak sekolah rendah. Di bawah pentadbiran kali ini, kita nak jadikan khatam al-Quran sebagai budaya dan bukan hanya di peringkat agensi kerajaan, masjid dan surau sahaja tapi meliputi rakyat kebanyakkan.

 

“Mereka diberi tugas tambahan membantu negeri mencapai sasaran ini supaya lebih ramai orang untuk khatam al-Quran,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Islam Iskandar Johor, di sini, hari ini.

 

Terdahulu, beliau hadir selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor ke program Multaqa Guru-Guru Al-Quran Bersama Johan Qari Qariah Antarabangsa Negeri Johor.

 

Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) , Jamaluddin A. Hamid; Timbalan Mufti Negeri Johor, Ahmad Faisal Mohamed; Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Dato’ Nooh Gadot dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor, Khaldun Muhammad Sharif.

 

Mohd Fared berkata, kerajaan negeri sudah menambah elaun guru al-Quran am dan khas bagi menghargai peranan kumpulan pendidik itu.

 

“Walaupun tak besar, elaun bagi guru al-Quran am dinaikkan dari RM300 kepada RM350 manakala yang khas dari RM500 kepada RM550.

 

“Maka, orang awam boleh hubungi Pejabat Kadi Daerah dan masjid berhampiran untuk kenal pasti guru-guru ini. Kita berharap mereka terdorong untuk belajar, mahir dan khatam secara berperingkat-peringkat,” katanya.

 

Selain itu, beliau memberitahu penglibatan guru al-Quran dalam multaqa menyuntik semangat untuk terus memperkasakan al-Quran selain memelihara ilmu taranum.

 

“Sebenarnya program ini adalah hasrat Menteri Besar Johor sendiri yang ingin berjumpa dengan semua guru al-Quran kita.

 

“Selain itu, kita juga telah memberi penghargaan kepada Tokoh Qari dan Qariah Negeri Johor yang juga johan Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) peringkat kebangsaan dan antarabangsa suatu ketika dahulu. Semoga lebih ramai lagi qari dan qariah dapat dilahirkan di negeri ini,” katanya.

 

Kerajaan Negeri mengucapkan selamat maju jaya pada kontinjen Johor dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 yang akan berlangsung di Pulau Pinang bermula 8 hingga 16 Jun ini.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor