EMHART GLASS LABUR RM135 JUTA DI SENAI


Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han, berkata pelaburan itu secara tidak langsung menjadi isyarat jelas bahawa Johor telah berkembang sebagai sebuah hub bagi sektor pembuatan dan perkilangan di Malaysia. | Foto Ihsan FB Lee Ting Han

 

ISKANDAR PUTERI — Syarikat pembekal terkemuka dalam pembuatan dan pemeriksaan bekas kaca dari Switzerland, Bucher Emhart Glass membuat pelaburan bernilai 28 juta euro atau hampir RM135 juta di i-Park, Senai Airport City dekat Sini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han, berkata pelaburan itu secara tidak langsung menjadi isyarat jelas bahawa Johor telah berkembang sebagai sebuah hub bagi sektor pembuatan dan perkilangan di Malaysia.

 

“Syarikat ini merupakan pembekal terkemuka teknologi canggih dalam pembuatan dan pemeriksaan bekas kaca di peringkat antarabangsa. Ia juga merupakan antara pengeluar terbesar bagi botol kaca dunia di mana fasiliti yang akan dibangunkan bakal menghasilkan hampir 10-20 peratus keluaran produk kaca global.

 

“Ini juga merupakan isyarat jelas sejauh mana Johor telah berkembang menjadi sebuah hab sektor pembuatan dan perkilangan di negara ini, sekali gus menjadi pemacu penting bagi pertumbuhan ekonomi di Malaysia dan Johor,” katanya di laman Facebook rasminya.

 

Ting Han berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada sektor pembuatan di Malaysia adalah berjumlah RM364.52 bilion dan ini dijangka berkembang 3.9 peratus tahun ini mengikut Tinjauan Ekonomi dan Fiskal serta Anggaran Hasil 2023 oleh Kementerian Kewangan Malaysia.

 

“Sektor pembuatan menyumbang kira-kira 30 peratus daripada KDNK Johor, selain menjadi salah satu sektor paling berdaya tahan dalam era pasca Covid-19 selain menjadi pemacu penting bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia dan Johor.

“Penting untuk kita mewujudkan rantaian nilai tinggi kerana membolehkan kita bukan sahaja menjana lebih banyak peluang pekerjaan tetapi juga menyediakan pekerjaan berkualiti dengan gaji yang lebih tinggi untuk Bangsa Johor,” katanya.

 

Tambah Ting Han, syarikat Bucher Emhart Glass bakal beroperasi di atas tanah seluas 300,000 kaki di i-Park, Senai Airport City pada suku ketiga tahun 2024.

 

“Mereka telah mempunyai seramai 150 pekerja di mana majoritinya adalah rakyat Malaysia. Pembinaan kemudahan pembuatan baharu ini akan melibatkan teknologi dan produk lebih inovatif, selain menyediakan 50 jawatan tambahan bagi penduduk tempatan.

 

“Saya percaya fasiliti baharu ini akan memainkan peranan penting dalam memenuhi matlamat syarikat dan Kerajaan Negeri Johor dalam mewujudkan lebih banyak pekerjaan lebih berkualiti,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor