IIB CATAT PELABURAN USD6.8 BILION


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata Kerajaan Negeri amat teruja dengan prestasi memberangsangkan IIB menarik nilai pelaburan tinggi selain mencipta kira-kira 10,000 peluang pekerjaan. | Foto Ihsan FB Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI — Iskandar Investment Berhad (IIB) mencatatkan pelaburan terkumpul sebanyak USD6.8 bilion atau sekitar RM31.28 bilion bagi tempoh 16 tahun iaitu sejak 2006 hingga tahun lalu.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata Kerajaan Negeri amat teruja dengan prestasi memberangsangkan IIB menarik nilai pelaburan tinggi selain mencipta kira-kira 10,000 peluang pekerjaan.

 

“Syukur Alhamdulillah, Kerajaan Negeri amat teruja dengan pencapaian IIB daripada 2006 hingga 2022 kerana telah mencatat nilai pelaburan sebanyak USD6.8 bilion dan telah mencipta 10,000 peluang pekerjaan.

 

“Saya juga teruja dengan semangat dan perancangan yang jitu daripada pengurusan IIB menerusi #IIBForward serta sesi taklimat yang disampaikan oleh Presidennya, Dato’ Idzham Mohd Hashim,” tulisnya di laman Facebook rasminya selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat IIB di Medini 9 di sini, hari ini.

 

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han dan Pengarah Pejabat Tanah & Galian, Dato’ Haji Ashari Kasnan.

 

Onn Hafiz turut yakin dengan kemampuan IIB mencapai visi membina bandar metropolis yang inklusif dan mampan pada masa hadapan.

 

“Semoga segala strategi yang dirancang mampu membuahkan hasil, seterusnya memberi limpahan ekonomi kepada kawasan Iskandar Puteri dan sekali gus demi memastikan negeri Johor sebuah negeri maju menjelang 2030.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor