PENGUSAHA TANAMAN PISANG KOA SEGAMAT KECIL TERIMA BANTUAN PASCA BANJIR


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip menyampaikan benih pisang kepada Hairi Din. | Foto MDJ, Saufi Razale

 

SEGAMAT — Pekebun kecil mengusahakan tanaman pisang dari Kampung Orang Asli (KOA) yang terjejas akibat banjir pada Mac lalu, mengukir senyuman selepas menerima bantuan daripada Kerajaan Johor.

 

Hairi Din, 23, menerima bantuan 500 benih pisang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip ketika program Jelajah Muhibah, pada Selasa.

 

Bercakap kepada Media Digital Johor, beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri yang segera menyumbang benih tanaman komoditi itu kepadanya.

 

“Sebelum banjir, saya ada lebih kurang 1,000 pokok pisang yang telah ditanam dalam masa setahun. Kemudian, ia musnah akibat banjir dan saya mulakan semula secara perlahan-perlahan.

 

“Jadi, saya bersyukur kerana ini baru pertama kali dapat sumbangan anak pokok pisang daripada pihak kerajaan,” kata beliau yang gembira dengan keprihatinan Kerajaan Johor.

 

Difahamkan, selain Hairi, Kerajaan Negeri turut menyampaikan bantuan seumpama itu kepada seorang lagi pekebun kecil di KOA Ulu Juaseh.

 

Sementara itu, Zahari memberitahu begitu teruja dengan semangat ditunjukkan oleh Hairi yang mengusahakan tanaman pisang pada usia muda.

 

“Saya telah dibawa melawat ke kawasan tanaman pisang yang terkesan akibat banjir melanda pada Mac yang telah memusnahkan tanaman mereka.

 

“Mereka tertanya-tanya mengenai bantuan daripada Kerajaan Persekutuan yang kini sedang diproses oleh pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

 

“Jadi hari ini kami ambil inisiatif untuk membantu dengan menyampaikan 500 benih pisang untuk mereka bangun semula dan dapat meneruskan aktiviti pertanian di sini,” katanya.

 

Selain itu, beliau juga memuji kepimpinan Batin KOA Segamat Kecil, Arifin Nong sehingga berjaya menerima pengiktirafan Anugerah Batin Terbaik Negeri Johor pada tahun lalu.

 

“Sepanjang beberapa jam kami di sini, memang betul Batin Arifin telah berjaya mendidik masyarakat khususnya anak-anak kecil menjalankan aktiviti sukan setiap petang, anak-anak muda dengan aktiviti pertanian, ia menunjukkan masyarakat di sini begitu tersusun,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor