GENAP SETAHUN PENTADBIRAN MENTERI BESAR JOHOR KE-19


Tanggal 15 Mac 2023 genap setahun Datuk Onn Hafiz Ghazi mengangkat sumpah bagi menerajui kerajaan negeri sebagai Menteri Besar Johor Ke-19.

 

 

ISKANDAR PUTERI — Dengan segala kejayaan dan pencapaian diraih, hari ini, genap setahun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengangkat sumpah bagi menerajui kerajaan negeri sebagai Menteri Besar Johor.

 

Tanggal 15 Mac 2022, bekas EXCO Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor itu telah mengangkat sumpah Menteri Besar Johor Ke-19 di hadapan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

 

“Syukur Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah SWT, tuhan sekalian alam yang menentukan segala-galanya.

 

“Terlebih dahulu, izinkan patik untuk merafak sembah menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim atas perkenan Tuanku yang telah melantik patik sebagai Menteri Besar Johor yang ke-19 pada 15 Mac 2022 yang lalu.

 

“Dengan izin Allah SWT, kini genap setahun perkhidmatan saya sebagai Menteri Besar Johor yang ke-19,” kata beliau di Facebook rasminya, hari ini.

 

Onn Hafiz akui amat sedar dan insaf amanah serta tanggungjawab yang dipikul menerajui Kerajaan Johor cukup besar untuk digalas, namun yakin dan percaya mampu dilakukan dengan kerjasama semua pihak.

 

“Tidak terhakis walau sekelumit keyakinan dan kepercayaan saya bahawa semua ini mampu dilakukan dengan kerjasama semua pihak demi kesejahteraan, kemajuan dan kemakmuran Negeri dan Bangsa Johor.

 

“Sesungguhnya segala pencapaian yang dikecapi sepanjang setahun ini tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa sokongan, dorongan dan usaha semua pihak,” kata beliau.

 

Onn Hafiz turut merakamkan penghargaan kepada Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor.

 

Selain itu, penghargaan juga diberikan kepada penjawat awam, jabatan mahupun agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

 

Penzahiran tersebut dititipkan Menteri Besar Johor atas kerjasama amat baik yang telah diberikan kepadanya dalam melaksanakan amanah dipertanggungjawabkan.

 

“Semoga Negeri Johor kekal membangun secara mampan demi kesejahteraan hidup Bangsa Johor,” kata beliau.

 

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor