BERBASIKAL TREK JOHOR BUKA LANGKAH AWAL SUMBANG ENAM PINGAT
Oleh: Mohamad Nur Ariff Nasseem Mohd Murad

Skuad berbasikal trek Johor membuka tirai cabaran SUKMA Selangor 2026 dengan enam pingat, sekali gus mencatat permulaan yang positif buat kontinjen Johor. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#Serdang – Kem berbasikal trek Kontinjen Johor membuka langkah awal dengan cemerlang apabila berjaya menyumbang enam pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026.
Membuka tirai acara di Velodrom Nasional Malaysia, Johor tidak perlu menunggu lama apabila meraih tiga pingat emas, dua pingat perak dan satu pingat gangsa menerusi beberapa acara yang dipertandingkan hari ini.
Pingat emas pertama Johor dalam sukan berbasikal trek hadir menerusi acara Sprint Berpasukan lelaki apabila kuartet Johor yang dibarisi Ahmad Danial Haiqal Ahmad Rifaiee, Ahmad Zharif Ahmad Nazri dan Mohamed Faris Hilman Mohamed Farook berjaya mencatatkan masa 46.164 saat, sekali gus mengatasi Selangor yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.
Johor kemudian menambah lagi pingat emas menerusi acara Persuit Berpasukan Lelaki yang dibarisi Muhamad Anas Rayyan Samsu Azhar Abdullah, Muhammad Danish Hakimi Jamarosazman, Muhammad Faris Norzaidi, Muhammad Faris Iskandar Saiful Bahari dan Muhammad Nazirul Aniq Abd Rahman dengan catatan masa 4:34.790 saat menewaskan Negeri Perak.
Kilauan emas turut hadir menerusi acara Keirin Wanita apabila pelumba sensasi Johor, Nur Alyssa Mohd Farid menampilkan kayuhan bertenaga untuk menewaskan lima pencabar lain yang turut memberikan saingan sebelum mengesah pingat emas untuk Johor.
Sementara itu, Johor turut meraih dua pingat perak menerusi acara Persuit Berpasukan Wanita dan acara Keirin Lelaki, selain pingat gangsa yang turut disumbangkan menerusi acara Sprint Berpasukan Perempuan.
Pencapaian enam pingat tersebut menyaksikan skuad berbasikal trek Johor memulakan cabaran SUKMA Selangor 2026 dengan momentum positif, sebelum meneruskan misi mengutip pingat untuk acara Scratch Race dan Sprint Individu yang dijadualkan berlangsung di venue yang sama, esok.
#JohorSafeZone
#SUKMAXXII
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


