KARATE JOHOR KEKAL KOMPETITIF HARUNGI CABARAN SUKMA

Kem karate Johor akan meneruskan
saingan esok menerusi acara kumite
berpasukan lelaki dan wanita. | Foto MDJ Imran Razib
#ShahAlam – Kem karate Johor berjaya meraih tiga pingat terdiri daripada satu perak dan dua gangsa dalam saingan kumite individu pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 di IDEAL Convention Centre (IDCC), hari ini.
Y. Thurga Sree menyumbang pingat perak menerusi kumite individu wanita 55 kilogram (kg), manakala K. Yathevan dan Elektra Red Rodrigo Del Rosario masing-masing meraih gangsa dalam kumite individu lelaki 84kg dan wanita 61kg.
Keputusan berkenaan menjadikan keseluruhan kutipan kem karate Johor setakat ini dua emas, satu perak dan dua gangsa sekali gus memperlihatkan Johor kekal kompetitif meskipun beberapa atlet berdepan kecederaan.
Bagi K. Vasanthan, Ketua Jurulatih Karate Johor menyifatkan pencapaian tersebut sebagai keputusan positif berdasarkan keadaan skuad kali ini yang hanya dibarisi seorang berbanding tiga atlet kebangsaan pada edisi 2024.
Kecederaan beberapa tonggak utama memerlukan barisan kejurulatihan menyusun semula perancangan termasuk membawa masuk atlet simpanan dalam tempoh singkat serta menyesuaikan kategori berat dan persiapan mengikut keperluan pertandingan.
Persiapan skuad turut diperkukuh menerusi sokongan perubatan, pemakanan, psikologi serta program latihan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) bagi memastikan tahap fizikal dan prestasi setiap atlet sentiasa dipantau.
Selain itu, Vasanthan juga merakamkan penghargaan kepada MSNJ atas sokongan menyeluruh sepanjang persiapan termasuk penyediaan kemudahan gimnasium dan keperluan latihan bagi membantu barisan kejurulatihan menyediakan atlet mengikut keperluan masing-masing.
Kem karate Johor akan meneruskan saingan esok menerusi acara kumite berpasukan lelaki dan wanita dengan barisan atlet bersedia memberikan cabaran terbaik bagi menambah kutipan pingat kontinjen negeri.
#JohorSafeZone
#Karate
#SUKMAXXII
#Selangor2026
#KontinjenJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



