KERAJAAN JOHOR LAKSANA PEMANTAUAN, PEMPROFILAN GELANDANGAN


Kerajaan Johor menjalankan pemantauan bagi tujuan pemprofilan terhadap gelandangan di sekitar bandar raya Johor Bahru, awal pagi ini | Sumber gambar Facebook Khairin_Nisa Ismail.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor menjalankan pemantauan bagi tujuan pemprofilan terhadap gelandangan di sekitar bandar raya Johor Bahru, awal pagi tadi.

 

Pemantauan tersebut disertai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail bersama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor serta Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon.

 

Berkongsi mengenai perkara itu, Khairin-Nisa berkata, pemantauan dilakukan antara jam 2 hingga 4 pagi dengan di sekitar Jalan Wong Ah Fook dan Jalan Tun Abdul Razak.

 

Menurut beliau, pemantauan turut dibantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Johor dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 

“Seramai 20 gelandangan telah disantuni dan telah diambil maklumat oleh agensi berkaitan untuk diambil tindakan. Pada pagi ini juga, seorang gelandangan telah dibawa ke Anjung Singgah dan seorang telah dibawa pulang ke rumah keluarga.

 

“Terdapat gelandangan yang merupakan dua daripadanya bukan warganegara, empat gelandangan yang berada dalam keadaan mabuk, empat merupakan pesakit mental, lima orang tiada tempat tinggal dan lima lagi merupakan gelandangan terdampar (terlepas bas atau tiada pekerjaan) dan kesemua gelandangan ini bakal diambil tindakan selanjutnya,” kata beliau di Facebook rasminya.

 

Khairin-Nisa berkata, kerajaan negeri sedang berada di atas landasan sifar gelandangan dan di dalam perancangan bagi menjalankan operasi besar-besaran dalam membanteras kumpulan tersebut.

 

“Terima kasih saya ucapkan kepada pihak JKM Negeri Johor yang bersama-sama kerajaan negeri dalam usaha sifar gelandangan, serta AADK Johor dan PDRM yang bersama-sama pada malam ini,” kata beliau.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor