245 NELAYAN JOHOR BAHRU TERIMA LESEN SAMPAN KHAS


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip menyampaikan Lesen Sampan Khas kepada 245 nelayan dari 29 pangkalan di seluruh daerah Johor Bahru.

 

ISKANDAR PUTERI — Seramai 245 nelayan dari 29 pangkalan di seluruh daerah Johor Bahru menerima Lesen Sampan Khas daripada kerajaan, hari ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip berkata, daripada jumlah keseluruhan nelayan terbabit, seramai 105 penerima merupakan nelayan komuniti Orang Asli.

 

“Seramai 62 orang (komuniti Orang Asli) daripada Johor Bahru Timur dan 43 orang daripada Johor Bahru Barat.

 

“Sebanyak 29 pangkalan terlibat dalam menerima lesen sampan khas pada hari ini. 15 pangkalan di Johor Bahru Timur dan 14 pangkalan di Johor Bahru Barat telah berjaya melepasi semua kriteria dan syarat sebagai penerima lesen ini,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Penyerahan Lesen Sampan Khas 2023 Bagi Daerah Johor Bahru, hari ini.

 

Zahari berkata, sehingga kini, seramai 1,142 nelayan yang aktif direkodkan di daerah Johor Bahru, dengan masing-masing 604 nelayan di pantai Johor Bahru Barat dan 538 di pantai Johor Bahru Timur.

 

“Ini menjadikan Johor Bahru antara daerah yang mempunyai nelayan pantai (zon A) yang paling ramai di Negeri Johor,” kata beliau.

 

Selain itu, beliau turut mengingatkan bahawa usaha pemutihan akan diteruskan bagi memastikan pemegang lesen adalah nelayan tulen.

 

“Jika telah keluar daripada industri perikanan, adalah dinasihatkan untuk menyerahkan semula lesen tersebut kepada Jabatan Perikanan Negeri Johor.

 

“Ini akan dapat memberi peluang kepada nelayan lain yang aktif dan tulen agar dapat keluar ke laut dengan hati yang tenang,” kata beliau lagi.

 

Justeru, Zahari menyeru nelayan yang telah mempunyai lesen agar terus aktif menjadi nelayan tulen dengan memberi kerjasama kepada Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan agensi terlibat secara langsung mahupun tidak.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor