KERAJAAN JOHOR PASTIKAN PENGURUSAN BENCANA BANJIR SISTEMATIK


Setiausaha Kerajaan Johor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Johor, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani ketika ditemui Media Digital Johor dalam Majlis Pelancaran Southern Volunteers (SV) Kota Iskandar, hari ini. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Kerajaan Johor sentiasa memastikan setiap pengurusan bencana banjir di negeri ini akan dapat dikendalikan secara sistematik dan lancar bagi memastikan tiada mangsa yang tersisih daripada mendapat bantuan.

 

Setiausaha Kerajaan Johor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Johor, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani memaklumkan, gerak kerja Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri bukan hanya dilaksanakan ketika berlaku banjir tetapi perlu sentiasa digerakkan sepanjang masa.

 

Ia termasuk keperluan bagi menyediakan tempat penyimpanan barang keperluan mangsa banjir, peralatan pusat pemindahan sementara (PPS), tugasan pembersihan serta kelengkapan aset bagi penghantaran bantuan dan kerja-kerja pemindahan mangsa ke PPS.

 

Beliau juga telah mengarahkan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Dato’ Haji Ismail Abu untuk mengenal pasti kawasan-kawasan berisiko dinaiki air dan memerlukan keperluan mendesak supaya tidak berlaku sebarang kecelaruan sekali gus dapat melancarkan gerak kerja bantuan bencana di negeri ini.

 

Sementara itu, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani turut menzahirkan kesyukuran susulan pengumuman Timbalan Perdana Menteri 1, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyalurkan dana sebanyak RM50 juta kepada Kerajaan Negeri semalam bagi meringankan beban mangsa banjir di Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor