KERAJAAN JOHOR SERIUS TANGANI ISU PENGHINAAN ISLAM


Kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor. 

 

Pendakwaan terhadap mereka terkait dengan isu stoking tertera kalimah Allah atas pertuduhan melukakan perasaan agama seseorang di Mahkamah Sesyen semalam, hendaklah menjadi amaran keras kepada semua pihak supaya menghormati Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

 

Kerajaan Johor tidak akan berkompromi kepada mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat kemuliaan agama Islam, dan seluruh umat Islam di negeri ini diseru agar terus bersatu hati seterusnya membenarkan prosiding perundangan berkenaan berjalan dengan adil dan saksama.

 

Malah Kerajaan Negeri bersama seluruh agensi berkaitan menzahirkan komitmen untuk memastikan pemantauan dan penguatkuasaan di peringkat negeri serta Persekutuan terus dilaksanakan supaya tiada lagi insiden persendaan agama Islam berlaku di Negeri Johor.

 

YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, seterusnya menzahirkan kesyukuran atas prosiding pendakwaan terkait isu kalimah Allah dan memohon aktiviti atau kegiatan membawa persendaan agama Islam dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan tegas diambil serta merta.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor