KERAJAAN JOHOR SUNTIK RM3.9 JUTA UNTUK PEMBANGUNAN SAWAH PADI JOHOR


YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor menyerahkan insentif kepada 9 kelompok pesawah sempena Program Pesta Layang-Layang dan Yok Turun Sawah Muo 2024 di Sawah Sungai Balang, Muar. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Kerajaan Johor menerusi Jabatan Pertanian Negeri Johor menterjemahkan komitmen menjayakan agenda Periuk Nasi Selatan dengan memperuntukkan RM3.9 juta bagi Program Pembangunan Sawah Padi Negeri Johor membabitkan kawasan padi aktif seluas 1,613 hektar di negeri ini.

 

Walaupun Johor bukan pengeluar utama produk beras tempatan, namun Kerajaan Johor tetap memandang serius terhadap sumbangan para pesawah di negeri ini dalam meningkatkan hasil pengeluaran padi dan menjamin keterjaminan makanan.

 

Peruntukan yang dapat dimanfaatkan 800 pesawah telah disalurkan kepada 9 kelompok pesawah melibatkan Sawah Sungai Balang, Sawah Teluk Rimba, Sawah Kesang Gate, Sawah Kesang Tasek, Sawah Ring, Sawah Air Papan, Sawah Endau, Sawah Kahang dan Sawah Sagil.

 

Menerusi inisiatif berkenaan, para pesawah dapat melakukan kerja pengapuran dan meratakan tanah, pengurusan kesuburan tanah, penggunaan teknologi pertanian terbaharu seperti mesin semaian, dron pemetaan, dron kerja termasuk menerapkan input berkaitan pertanian.

 

Penyerahan insentif berkenaan telah disampaikan oleh YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor sempena Program Pesta Layang-Layang dan Yok Turun Sawah Muo 2024 di Sawah Sungai Balang, Muar, semalam.

 

Turut hadir YBhg Hasrin Kamal Hashim, Pegawai Daerah Muar; YB Selamat Takim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang; YBhg Yosri Mohd, Pengarah Pertanian Negeri Johor dan YB Dato’ A. Rahim Nin, Presiden Majlis Pelayang Malaysia.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor