KERAJAAN JOHOR KOMITED PERKASA INDUSTRI HALAL


YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merasmikan Program Halal On Track 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Mencari yang halal itu fardu bagi setiap orang Islam. Dalam melaksanakan saranan Rasulullah SAW yang turut menjadi tuntutan agama, Kerajaan Johor tanpa sebarang kompromi terus beriltizam untuk memperkasakan industri halal di negeri ini demi maslahat umat Islam secara keseluruhan.

 

Komitmen ini dapat dilihat menerusi usaha berterusan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri dalam membantu usahawan khususnya di Johor bagi mendapatkan persijilan halal yang sewajarnya perlu diberi pujian.

 

Malah, pemilihan Johor sebagai tuan rumah program ‘Halal On Track’ di Wilayah Selatan kali ini juga dibuat atas komitmen luar biasa diberikan Kerajaan Negeri yang diterjemah dengan kadar kelulusan persijilan halal yang meningkat secara ketara iaitu pada kadar 98.79 peratus, antara yang tertinggi di negara ini.

 

Selain itu, Kerajaan Persekutuan turut memuji inisiatif pengoperasian Iskandar Halal Park di Pasir Gudang yang wajar dijadikan contoh kepada negeri lain bagi menggarap usaha memenuhi potensi besar dimiliki industri ini, sekali gus berupaya memenuhi permintaan pasaran domestik dan antarabangsa.

 

Prestasi unggul yang dipamerkan oleh industri halal ini turut diperlihatkan menerusi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lalu yang berada pada kadar 7.9 peratus dengan nilai eksport sebanyak RM53.72 bilion. Ia sekali gus menjadi penyumbang 3.8 peratus daripada keseluruhan nilai eksport negara yang berjumlah melebihi RM1.43 bilion.

 

Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan akan terus memberi komitmen untuk memperkenalkan pelbagai insentif khas bagi menarik lebih ramai pemain industri halal untuk mengambil manfaat ekonomi di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas Forest City yang akan ditandatangani tidak lama lagi.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merasmikan Program Halal On Track 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru yang turut dihadiri YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.

 

Hadir sama, YB Senator Dato’ Dr. Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama); YB Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor dan YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor