TMIYC MUAR DIJANGKA SIAP HUJUNG TAHUN


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mengadakan lawatan ke tapak pusat belia, Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Muar. | Foto ihsan Facebook Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI — Pembangunan dan naik taraf infrastruktur Pusat Belia Tunku Mahkota Ismail (TMIYC) Muar dijangka siap pada hujung tahun ini.

 

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mengadakan lawatan ke tapak pusat belia berkenaan.

 

“Saya telah turun ke tapak TMIYC Muar bagi melihat status pembangunan dan menaiktaraf infrastruktur yang dijangka siap pada akhir tahun ini.

 

“TMIYC adalah cetusan idea dan visi DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim untuk memperkasakan pembangunan golongan belia dengan pembinaan sebuah pusat belia di setiap daerah di Johor,” kata beliau dalam Facebook rasminya, pada Selasa.

 

Onn Hafiz berkata, TMIYC Muar akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bagi manfaat golongan belia.

 

Ujarnya, pusat belia itu juga bakal menjadi titik tumpuan belia tempatan untuk perkembangan diri dan aktiviti berkumpulan.

 

“Antara kemudahan yang sedang dibangunkan adalah gelanggang futsal, padang sintetik, gimnasium, gelanggang serbaguna, gelanggang sukan ekstrim, asrama belia dan kafeteria.

 

“Saya berharap agar segala perancangan dapat dilaksanakan dengan baik dan semoga ia akan memberi impak positif kepada pembangunan anak-anak muda di Daerah Muar,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor