KOIKJ PLATFORM PERKUKUH PELAJAR BERKEPERLUAN KHAS

Ybhg Tuan Haji Mohd Hanafi Samad, Pengarah Pendidikan Negeri Johor menyempurnakan majlis perasmian Karnival Outreach Inklusif dan Kebolehpasaran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas Negeri Johor. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Penganjuran Karnival Outreach Inklusif dan Kebolehpasaran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas Negeri Johor (KOIKJ) menjadi antara platform penting dalam usaha untuk mengetengahkan potensi, bakat dan kemahiran yang terdapat dalam diri murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) di negeri ini.
Selain itu, pendidikan inklusif di sekolah juga menjadi perantara utama dalam mempersiapkan murid berkeperluan pendidikan khas sebelum memasuki dunia pasaran pekerjaan dan hubungan sosial dengan masyarakat luar dengan lebih luas dan dinamik.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil perhatian yang serius berkaitan dengan kebolehpasaran murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) dengan memperkukuhkan sokongan daripada ibu bapa dan guru serta menekankan hak setiap murid untuk belajar, sekali gus membolehkan mereka mendapat akses, ruang dan peluang yang sama seperti pelajar harian biasa yang lain.
Pada karnival sama, anak syarikat Johor Corporation (JCorp), Waqaf An-Nur turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM596,000 berupa 17 unit Smart Board dan Program Iqra’ Celik Al-Quran kepada 23 sekolah di Johor. Sementara itu, Perbadanan Islam Johor (PIJ) turut menyerahkan sumbangan RM200,000 bagi Pelaksanaan Bilik Terapi Multisensori untuk MBPK selain turut menyerahkan 850 unit peranti tablet kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Cendana, SK Taman Johor Jaya 1 dan SK Permas Jaya 5.
Terdahulu Ybhg Tuan Haji Mohd Hanafi Samad, Pengarah Pendidikan Negeri Johor menyempurnakan majlis perasmian KOIKJ di Pusat Beli Belah Toppen, Johor Bahru.
Hadir sama ialah Ybrs. Dr Abd Khalik Khassunah Muzir, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia; YBhg. Tuan Haji Bukhari Abd Rahman, Ketua Eksekutif Waqaf Annur; YBhg. Tuan Haji Azizi Redza Zainal, Pengurus Pembangunan Kanan PIJ dan YBrs Encik Mohd Razi Jaafar, Ketua Pegawai Kewangan, Yayasan Didik Negara.
#KOIKJ
#PendidikanKhas
#MuridBerkeperluanKhas
#JPNJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor