KONSERT ‘THE SYMPHONY OF FRIENDSHIP’ MEMUKAU


Persembahan orkestra dari The Purple Symphony dan Sekolah Seni Malaysia Johor di Permaisuri Zarith Sofiah Opera House, Johor Bahru, semalam. | Foto ihsan Royal Press Office

 

Orkestra inklusif terbesar Singapura, The Purple Symphony terdiri daripada kira-kira 70 pemuzik termasuk mereka yang berkelainan upaya mengadakan persembahan di luar negara, buat julung kalinya di Permaisuri Zarith Sofiah Opera House, Johor Bahru.

 

DYMM Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah berkenan untuk berangkat hadir menyaksikan persembahan daripada sekumpulan pemuzik yang berbakat itu. Turut hadir, Isteri Perdana Menteri Singapura, Datin Paduka Ho Ching.

 

Hadir sama, Isteri Menteri Besar, Datin Sharmin Fazlina Mohd Shukor berserta Setiausaha Kerajaan Johor, YB Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani dan isterinya, Puan Sri Datin Dr. Azizah Abd Latiff.

 

Konsert ‘The Symphony of Friendship’ menampilkan kolaborasi persembahan antara The Purple Symphony dan sekolah seni berprestij di Johor Bahru iaitu Sekolah Seni Malaysia Johor.

 

Antara lagu yang dipersembahkan secara bersama adalah ‘Kalau Rindu’ – lagu ciptaan Almarhum Sultan Idris Shah, paduka ayahanda DYMM Permaisuri Johor. Selain itu, orkestra diketuai oleh Pengarah Artistik, Quek Ling Kiong, juga mempersembahkan lagu seperti ‘Tanjong Katong’ dan ‘Tunggu Sekejap’.

 

Persembahan ‘The Symphony of Friendship’ secara tidak langsung mengeratkan hubungan penggiat seni serta mencerminkan hubungan akrab antara Negeri johor dan Singapura.

 

Inisiatif menganjurkan konsert berkenaan telah diusahakan oleh Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) dengan kerjasama Temasek Foundation, The Purple Symphony, Sekolah Seni Malaysia Johor dan Permaisuri Zarith Sofiah Opera House.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor