KULAI CYCLING PARK ‘PORT’ LEPAS GERAM GENG BASIKAL


Kulai Cycling Park dibuka secara rasmi kepada awam sejak 6 Februari lalu. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Pembinaan laman rekreasi khusus untuk aktiviti berbasikal di Bandar Indahpura, Kulai jelas menerima reaksi positif dari penggemar sukan berkenaan untuk melakukan aktiviti riadah bersama keluarga dan rakan-rakan dengan selamat.

 

Fasa satu pembinaan Kulai Cycling Park oleh Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) ini melibatkan kos berjumlah RM855,000 dan merangkumi kemudahan trek joging serta dataran yang telah siap dibina pada November tahun lalu.

 

Inisiatif MPKu dalam menyediakan fasiliti berkenaan disambut baik Muazzam Nordeen, 29, penggemar sukan berbasikal yang turut mahukan kemudahan seperti itu diperluaskan ke seluruh negeri bagi menjamin keselamatan golongan yang meminati aktiviti tersebut.

 

Selain itu, Muazzam yang mengunjungi Kulai Cycling Park pada setiap hujung minggu yakin fasiliti berkenaan dapat mencungkil bakat baharu dalam sukan berbasikal sama ada BMX atau ‘push bike’, serta sukan ekstrem papan selaju dan ‘roller blade’ yang kian popular dalam kalangan generasi muda.

 

Malah, inisiatif murni MPKu mewartakan laluan khas berbasikal sejauh kira-kira 10 kilometer (KM) dari Jalan Persiaran Indahpura hingga ke Johor Premium Outlet (JPO) turut mendapat pujian ‘geng kayuh’ kerana menepati piawaian sekali gus mengelak daripada terbabit dengan kemalangan jalan raya.

 

Selain trek berbasikal, Kulai Cycling Park juga menyediakan kemudahan gelanggang papan selaju hasil sentuhan dan reka bentuk legenda sukan tersebut, Ahmad Fadzil Musa atau dikenali sebagai Pa’din yang telah siap dibina pada 24 Jun lalu.

 

Sejak dibuka secara rasmi pada 6 Februari tahun ini, Kulai Cycling Park ternyata tidak pernah sunyi dari penganjuran program dan pertandingan melibatkan pelbagai lapisan umur sekali gus menjadikannya sebagai lokasi pilihan bagi aktiviti sukan berbasikal.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor