KURSUS KYPJ AKAN DIKAJI SEMULA


Delegasi Kerajaan Negeri dalam lawatan kerja pendidikan ke Singapura diketuai YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor membuat kunjungan ke Universiti Nasional Singapura (NUS). | Foto MDJ Wira Anggara

 

Kerajaan Negeri sedia mengkaji semula kursus-kursus yang ditawarkan di Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan sebagai persediaan bagi menjayakan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

Bagi tujuan tersebut, kursus yang relevan dengan pasaran pekerjaan dan mempunyai permintaan tinggi dalam kalangan pelajar akan dikekalkan atau ditambah sekiranya belum pernah ditawarkan sebelum ini, manakala kursus kurang diminati pula digugurkan.

 

KYPJ juga bakal bekerjasama dengan Universiti Nasional Singapura (NUS) untuk memberi peluang kepada graduan cemerlang lepasan Diploma menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di universiti terkemuka itu seterusnya kembali berkhidmat semula di negeri ini, selepas tamat pengajian.

 

Di samping itu, program pertukaran pelajar antara KYPJ dan NUS yang meliputi perkongsian budaya, idea dan pendapat turut berada dalam perancangan kerana dilihat mampu menjadi jambatan bagi meneruskan hubungan baik bidang pendidikan antara Negeri Johor dengan Singapura.

 

Malah, program pertukaran tenaga pengajar ke Singapura akan dilaksanakan dalam bentuk kursus jangka pendek bagi membolehkan warga pendidik merasai pengalaman dan mempelajari proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) daripada negara jiran sebelum dapat diterapkan di negeri ini.

 

Terdahulu, lawatan kerja pendidikan Kerajaan Johor ke Singapura selama dua hari diketuai YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor berakhir dengan kunjungan ke NUS, diikuti sesi perbincangan semula bersama delegasi yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor