MBJB KOMITED BANTERAS ISU ANJING LIAR
#JohorBahru – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dengan kerjasama Social Hero Foundation (SHF) dan Vet Partners Malaysia terus komited dalam melaksanakan program kembiri anjing liar, sekali gus dapat memastikan kaedah pengurusan ini lebih teratur khususnya di kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tersebut.
Sebanyak 200 ekor anjing liar telah ditangkap di beberapa kawasan perumahan dan perindustrian dalam tempoh dua hari bermula 7 Januari 2025. Anjing-anjing tersebut diberikan ubat kutu serta vaksin rabies sebelum diserahkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berminat untuk tujuan penjagaan dan pemeliharaan selanjutnya.
Untuk rekod, MBJB telah membuktikan komitmen dalam pengurusan anjing liar melalui jumlah tangkapan sebanyak 2,708 ekor pada tahun 2022 dan 1,899 ekor pada tahun 2023. Bagi tahun 2024, peningkatan jumlah tangkapan kepada 2,692 ekor anjing liar telah ditangkap di sekitar kawasan MBJB setakat bulan Januari hingga November.
Sementara itu, usaha yang dilaksanakan oleh MBJB dalam menyelesaikan aduan orang awam berkaitan anjing liar ini dapat dikurangkan dengan adanya program seperti ini demi menjaga keselamatan penduduk setempat.
Terdahulu, Dr. Hajah Aslinda Salikin, Pengarah Kesihatan MBJB bersama 21 orang doktor dan 16 orang jururawat veterinar termasuk wakil dari SHF serta 25 anggota MBJB terlibat dalam Program Kembiri Anjing Liar MBJB Siri Kedua di Dewan Raya Jalan Rawa, Taman Perling.
#KembiriAnjingLiar
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#TepatSahihPantas
#MajuJohor