MBJB SEDIA FASILITI LIMA BINTANG


Kemudahan tandas awam bertaraf lima bintang di pusat bandar terletak di Jalan Segget. | Foto MDJ Aisyah Salleh

 

Bagi memberikan keselesaan kepada pelawat dan masyarakat setempat serta meningkatkan imej bandar raya Johor Bahru, pelbagai kerja naik taraf yang sedang dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri menerusi Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menjelang Tahun Melawat Johor 2026.

 

Antaranya, menyediakan kemudahan tandas awam bertaraf lima bintang dilengkapi ciri moden paip automatik, mesra Orang Kurang Upaya (OKU), bilik persalinan lampin bayi serta diterangi pencahayaan dan pengudaraan yang baik di pusat bandar terletak di Jalan Segget melibatkan peruntukan berjumlah RM500,000.

 

Malah, cakna dengan keperluan pelawat dan masyarakat Islam untuk beribadah di pusat bandar, MBJB turut menyediakan kemudahan surau di blok bangunan sama bagi kegunaan awam seterusnya akan dijaga rapi bagi mengelak kegiatan vandalisme yang mampu mencemar imej fasiliti berkenaan.

 

Selain itu, Kerajaan Johor juga telah memperuntukkan RM6 juta untuk memberi nafas baharu kepada Hutan Bandar MBJB melibatkan aspek pencahayaan dan menaik taraf fasiliti riadah seperti tapak perkhemahan serta kolam rekreasi air yang menjadikan lokasi ini destinasi wajib kunjung di Johor Bahru.

 

Pada masa yang sama, usaha menaik taraf kawasan tumpuan orang ramai yang lain termasuk Taman Merdeka dan Laman Tun Sri Lanang dekat Sungai Segget juga akan dilaksanakan bagi mewujudkan persekitaran yang selesa dan selamat kepada pengunjung dari dalam serta luar negeri dan negara.

 

Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor ditemui media pada Majlis Pelancaran Insentif Khemah Usahawan Mikro dan Hari PUJB Bertemu Usahawan di Bazar Karat Johor Bahru.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor