JOHOR TUAN RUMAH PROGRAM HOT 2024


Gambar hiasan.

 

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan menganjurkan Program Halal on Track (HOT) 2024 dengan jangkaan penglibatan 1,500 usahawan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru pada 4 Jun ini.

 

Program manifestasi komitmen Kerajaan melalui JAKIM dan negeri-negeri untuk memperkasa pensijilan halal Malaysia menerusi pelbagai kaedah dan pendekatan lebih mesra industri itu bakal disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri.

 

Penganjuran HOT menjadi platform memberi pendedahan dan mempersiapkan usahawan dengan cara menggabungkan pelbagai penawaran perkhidmatan oleh pihak-pihak berkepentingan di bawah satu bumbung sekali gus mempercepatkan proses pengurusan pensijilan halal Malaysia.

 

Sempena HOT 2024 @ Johor, kaunter pendaftaran sistem MYeHALAL akan dibuka bagi memudahkan usahawan membuka akaun sebelum membuat permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) serta kaunter bimbingan dan fasilitasi daripada pegawai JAKIM dan JAINJ.

 

Selain itu, turut diadakan perkongsian maklumat pensijilan halal secara terbuka melalui sesi ‘Halal Talk’ berkaitan permohonan SPHM, bimbingan dan insentif usahawan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA), pembiayaan Industri Halal oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) serta sistem sokongan industri kotej oleh Bank Islam.

 

HOT 2024 @ Johor yang akan dihadiri oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dan YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga memberi ruang kepada 20 usahawan halal mempamerkan produk masing-masing.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor