PEMERKASAAN GERAKAN SUKARELAWAN DI JOHOR


Kerajaan Johor mensasarkan keahlian Southern Volunteers (SV) seramai 200,000 menjelang tahun 2027 | Sumber Facebook Hairi Md Shah.

 

ISKANDAR PUTERI — Sebanyak lima program dirancang Pusat Pembangunan Belia Johor (JOYDEC) dan Southern Volunteers (SV) untuk dilaksanakan di peringkat negeri pada tahun hadapan.

 

EXCO Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, selain itu, pada tahun 2023 juga, tujuh program dirancang JOYDEC dan SV untuk dilaksanakan di peringkat daerah.

 

“Ini antara lain bagi menjayakan satu daripada KPI jangka panjang yang saya tetapkan di bawah portfolio Belia dan Sukan iaitu meningkatkan keahlian SV seramai 200,000 menjelang tahun 2027.

 

“Antara yang akan dilaksanakan tahun hadapan termasuk mewujudkan aplikasi khas SV bagi memudahkan urusan pendaftaran dan penyampaian makluman, kursus asas bencana, kolaborasi bersama Jabatan Pendidikan bagi program Skuad Muda SV di semua sekolah-sekolah seluruh Johor serta penganjuran Jamboree Sukarelawan,” kata beliau menerusi siaran dimuat naik dalam Facebook rasminya.

 

Mohd Hairi berkata, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim telah memperkenan untuk mewujudkan SV dengan tujuan memberi nafas baru supaya gerakan sukarelawan di Johor terus berkembang.

 

Ujar beliau, SV bergerak dengan sokongan persatuan-persatuan belia Negeri Johor dan digerakkan oleh JOYDEC secara bersama.

 

“YB Tuan Haji Dato’ On Jabbar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) merupakan penggerak utama dalam memastikan SV terus menyumbang bakti kepada masyarakat.

 

“Semua Datuk Bandar dan Yang Dipertua juga telah diperkenan dilantik sebagai Pengerusi SV di setiap PBT dengan berperanan membantu dalam memperkasa gerakan SV hingga ke peringkat akar umbi dan digerakkan dengan nama SV sebagai identiti kumpulan,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor