SEGERA LAPORKAN KES PENDERAAN – POLIS JOHOR


Ketua Polis Johor, Dato’ Kamarul Zaman Mamat menasihatkan masyarakat supaya segera untuk melaporkan kejadian penderaan kanak-kanak.

 

ISKANDAR PUTERI — Polis menasihatkan masyarakat untuk melaporkan kejadian penderaan kanak-kanak yang berlaku di sekeliling, agar tindakan segera dapat diambil.

 

Ketua Polis Johor, Dato’ Kamarul Zaman Mamat berkata, pemakluman kepada polis setelah mangsa dera sudah tidak bermaya disifatkan sebagai terlewat.

 

“Nasihat saya supaya jika berlaku perkara macam ini sila terus maklumkan (dan) beritahu pihak polis supaya kita dapat ambil tindakan dengan segera. Jangan sampai anak sudah tidak bermaya baru lah dibuat laporan polis, ini telah terlambat.

 

“Jadi saya nasihatkan kepada semua warga yang melihat kejadian tidak elok berlaku kepada kanak-kanak, tolong terus segera beritahu kepada polis untuk kita ambil tindakan,” katanya kepada pemberita di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika mengulas kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia selepas dipercayai menjadi mangsa dera di Senggarang, Batu Pahat.

 

Dalam kenyataan media semalam, Kamarul Zaman memberitahu pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 23 tahun mengenai kanak-kanak lelaki pengsan di rumahnya dan dibawa ke klinik untuk rawatan pada 23 Disember lalu.

 

“Bertindak atas maklumat, pada 24 Disember 2022, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Batu Pahat telah berjaya menahan lima individu warga tempatan terdiri daripada dua lelaki dan tiga perempuan disyaki terlibat dalam kejadian ini.

 

“Hasil siasatan yang dijalankan, pihak polis telah membuat rampasan barang yang disyaki digunakan untuk mendera mangsa di sebuah rumah sekitar Senggarang, Batu Pahat,” jelas beliau dalam kenyataan itu.

 

Ujarnya, mangsa dijaga oleh kakak kandungnya setelah ibu bapa mereka dimasukkan ke penjara akibat kesalahan dadah, namun kemudiannya diserahkan keapda rakan kakak untuk dijaga.

 

“Pada 26 Disember 2022, mangsa telah disahkan meninggal dunia di HSI, Johor Bahru setelah menjalani rawatan sejak 23 Disember 2022.

 

“Reman telah dipohon terhadap kesemua suspek di Mahkamah Batu Pahat dan telah mendapat kebenaran selama tujuh hari mulai 25 sehingga 31 Disember 2022,” kata beliau.

 

Pada awalnya kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001, namun polis mengklasifikasikan kes semula akibat kematian mangsa iaitu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor