PENJAJARAN ‘SELEKOH S’ SIAP SEPENUHYA


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh memaklumkan ‘Selekoh S’ di Kulai kini siap sepenuhnya. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Projek memperelok jajaran jalan Johor Bahru-Ayer Hitam FT001 di Seksyen 38-40 kilometer atau lebih dikenali sebagai ‘Selekoh S’, dekat Kulai, yang menjadi lokasi kerap berlaku kemalangan kini siap sepenuhnya.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh memaklumkan projek sakit yang tertangguh sejak tahun 2021 itu merangkumi jarak sepanjang 1.3 kilometer melibatkan kos keseluruhan RM3.84 juta.

 

Bagaimanapun, atas komitmen Kerajaan Negeri, projek melibatkan skop kerja meluruskan jalan berkenaan telah disambung semula Mac tahun ini, seterusnya berjaya disiapkan pada 21 November lalu dan dibuka untuk kegunaan pengguna.

 

Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan memantau dan menyelenggara jajaran baharu berkenaan selama tempoh setahun, sebelum jalan persekutuan itu diserahkan semula kepada Kerajaan Persekutuan untuk diambil alih.

 

Terdahulu, Fazli menghadiri Majlis Penyerahan Projek Memperelok Jajaran Laluan FT001 Johor Bahru ke Ayer Hitam oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Kerajaan Negeri melalui Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ).

 

Turut hadir, Pengarah JKR Negeri Johor, Ir. Abu Bakar Abdul Aziz; Pegawai Daerah Kulai, Fizwan Dato’ Mohd Rashidi dan Ketua Penolong Setiausaha (Pembangunan Sektoral) BPENJ, Mohd Shahrin Dato’ Rahmat.

 

Sementara itu, Kerajaan Negeri akan menyelesaikan tiga lagi projek sakit pada tahun depan membabitkan Jalan Kempas Lama, Johor Bahru; jalan pintas Tanjung Laboh di Kampung Rahmat, Batu Pahat dan Jambatan Kampung Sawah, Pontian yang melibatkan kos kira-kira RM18 juta.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor