PENSIJILAN MYGAP, MYORGANIC JOHOR MELEPASI SASARAN


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip merekodkan pencapaian 383 Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) dan Skim Pensijilan Organik Malaysia (myOrganic) baharu. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Jabatan Pertanian Negeri Johor berjaya merekodkan pencapaian 383 Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) dan Skim Pensijilan Organik Malaysia (myOrganic) baharu bersamaan 114 peratus pada tahun lalu.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip memaklumkan daripada jumlah tersebut, sebanyak 369 adalah pensijilan myGAP manakala selebihnya adalah pensijilan myOrganic untuk 14 ladang.

 

Angka berkenaan menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2021 iaitu sebanyak 359 pensijilan baharu yang telah direkodkan, kata beliau ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pensijilan myGAP dan myOrganic Jabatan Pertanian Negeri Johor Tahun 2022, hari ini.

 

Pensijilan myGAP merupakan skim pensijilan dilaksanakan sejak tahun 2002 untuk mengiktiraf ladang yang mengamalkan Amalan Pertanian Baik, sementara pensijilan myOrganic yang dilaksana sejak tahun 2003 bagi mengiktiraf ladang diusahakan secara penanaman organik.

 

Sementara itu, seramai 30 daripada 383 usahawan diraikan pada majlis tersebut sebagai tanda penghargaan atas usaha dalam menyumbang kepada prestasi pencapaian pensijilan myGAP dan myOrganic Negeri Johor.

 

Kerajaan Johor terus komited untuk menjadi ‘bakul makanan’ kepada Malaysia dan ‘bank makanan’ bagi negara serantau seterusnya menjayakan Dasar Agro Makanan Negeri Johor (DANJ) yang menekankan aspek peningkatan produktiviti yang seiring dengan kualiti dan keselamatan makanan.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor